PUTRAJAYA, 18 Nov (Bernama) -- Sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) beroperasi seperti biasa susulan laporan berkaitan perkhidmatan ambulans yang diterima Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Komunikasi dan Telekom Malaysia Bhd (TM).
KKM, KK dan TM menerusi kenyataan bersama hari ini memaklumkan walaupun insiden tersebut adalah terpencil, perkara itu ditangani secara serius dan dengan kadar segera kerana setiap panggilan kecemasan melibatkan nyawa dan kesejahteraan rakyat.
"Semakan teknikal oleh TM mengesahkan bahawa sistem NG MERS 999 beroperasi seperti biasa, termasuk prosedur penyaluran kes menggunakan prinsip nearest available bagi memastikan aset kecemasan terhampir dapat digerakkan secepat mungkin," menurut kenyataan itu.
NG MERS 999 merupakan sistem kecemasan generasi baharu negara yang dibangunkan untuk menyediakan perkhidmatan lebih pantas, tepat, moden dan inklusif.
Menurut kenyataan itu, usaha memperkukuh respons di lapangan terus dipertingkatkan KKM melalui penambahan ambulans, penyusunan semula penugasan petugas di kawasan strategik serta penglibatan badan sukarela seperti Bulan Sabit Merah Malaysia, St John Ambulans Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan sebagai sebahagian daripada keupayaan respons kecemasan negara.
"Penilaian berterusan terhadap keupayaan koordinasi dan ketersediaan aset juga sedang dilaksanakan bersama agensi berkaitan.
"Pada masa sama, perkhidmatan 999 melalui panggilan suara kekal berfungsi sepenuhnya dan boleh digunakan seperti biasa," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, aplikasi SaveME999 pula berfungsi sebagai saluran tambahan khususnya untuk pengguna yang memerlukan ciri komunikasi melalui teks, video dan multimedia selaras dengan usaha meningkatkan keberkesanan dan keterangkuman respons kecemasan negara.
"TM akan terus memperkukuh keupayaan sistem dan aplikasi NG MERS 999 termasuk perisian serta proses teknikal yang berkaitan bagi memastikan prestasi dan pengalaman operasi lebih lancar untuk semua agensi kecemasan," menurut kenyataan itu.
Sistem NG MERS 999 mula beroperasi 16 Nov lepas merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi, TM dan lima agensi kecemasan utama iaitu KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
-- BERNAMA
