EKONOMI

KERAJAAN TAMBAH EMPAT BANK BERGERAK BSN BANTU RAKYAT PEDALAMAN DAPAT AKSES KEWANGAN

18/11/2025 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan penambahan empat lagi unit bank bergerak Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 2026 khusus untuk meningkatkan akses perkhidmatan perbankan kepada rakyat di kawasan pedalaman Sabah, Sarawak, Pahang dan Perak.

Dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, Kementerian Kewangan (MoF) berkata penambahan itu akan menjadikan keseluruhan 20 unit bank bergerak bagi memudahkan urusan kewangan penduduk pedalaman termasuk lebih 1 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Pihak kerajaan juga menggalakkan rakyat untuk  melakukan urusan perbankan secara digital, di mana transaksi perbankan boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa secara selamat.

Perbankan digital juga diharap akan dapat meluaskan  jangkauan perkhidmatan kewangan kepada kawasan-kawasan luar  bandar agar pengguna di seluruh Malaysia boleh mendapat manfaat  daripada akses dan penggunaan perkhidmatan kewangan,” kata kementerian itu.

MoF menjawab pertanyaan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH–Tuaran) yang ingin tahu sama ada kerajaan merancang untuk menambah kemudahan perbankan dan perkhidmatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di kawasan Parlimen Tuaran, meliputi Pekan Tenghilan, Pekan Nabalu, Pekan Kiulu, Pekan Tamparuli, Taman Sri Rugading, Pekan Berungis dan Bandar Tuaran.

MoF turut memaklumkan bahawa daripada 11 unit bank bergerak yang beroperasi di Sabah pada masa ini, enam dikendalikan oleh BSN, tiga oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia dan dua oleh Agrobank.

Sementara itu, mengenai perkhidmatan KWSP, kementerian itu berkata lapan cawangan KWSP beroperasi di Sabah dengan disokong tiga kaunter bergerak.

“Kerajaan mengambil maklum keperluan penduduk di kawasan Tuaran dan akan terus memperluas liputan dan akses kepada  perkhidmatan KWSP dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan  mempertingkat kecukupan simpanan ahli, seiring dengan tujuan KWSP  bagi membantu membina masa hadapan persaraan rakyat Malaysia yang lebih baik,” tambahnya. 

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan