KUALA LUMPUR, Nov 19 (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyarankan agar kerjasama lebih erat dengan ahli perniagaan China bagi meningkatkan aktiviti hiliran dan perluasan ladang durian Musang King di Malaysia.
Berucap pada Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi Cina Global 2025 di sini, beliau berkata durian Malaysia mempunyai potensi besar serta mendapat sambutan yang kukuh di negara Tembok Besar itu.
“Diplomasi durian bukan sekadar diplomasi, ia perniagaan durian. Kita perlu bekerjasama dengan ahli perniagaan China untuk menambah lagi ladang Musang King di Malaysia dan kita harus berganding bahu untuk membangunkan sektor hiliran,” katanya dalam ucapan perasmian di Wisma MCA hari ini.
Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata eksport durian Malaysia ke China telah mencecah hampir RM1 bilion dan angka itu dijangka meningkat dengan ketara, memandangkan jumlah berkenaan ketika ini hanya melibatkan satu atau dua wilayah di China.
Bulan lepas, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan bahawa Malaysia telah mengeksport durian segar serta durian dalam bentuk pulp and paste berjumlah 115,359 tan metrik dengan nilai RM6.37 bilion ke pasaran China dari 2018 hingga 2025. Kementerian itu turut menambah bahawa nilai eksport durian Malaysia pada tahun 2030 dijangka mencecah RM1.8 bilion, melibatkan jumlah eksport sebanyak 69,000 tan metrik.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata semua pihak perlu mengakui realiti bahawa China sedang maju dengan pesat dalam kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi dan pendidikan teknikal, bidang yang perlu dipelajari, disesuaikan dan dibangunkan bersama oleh Malaysia.
Beliau berkata selaras dengan usaha negara memperkukuh kerjasama dengan China, khususnya dalam ekonomi digital dan peralihan hijau global, Malaysia juga mesti bersedia menghadapi faktor yang akan membentuk pertumbuhan ASEAN pada dekad akan datang.
Ahmad Zahid berkata kemajuan dalam AI, data raya dan teknologi pintar sedang mengubah landskap perniagaan, mendorong Malaysia meningkatkan kesalinghubungan, memperkukuh kemahiran digital dan menyokong pengembangan perusahaan kecil dan sederhana, dengan China menawarkan peluang besar untuk usaha sama serta pemindahan teknologi bagi mempercepat kemajuan.
Berhubung peralihan hijau, beliau berkata Malaysia mengalu-alukan kerjasama lebih mendalam dengan China dan negara lain dalam teknologi solar, mobiliti elektrik, pembuatan hijau dan pertanian pintar, yang diharapkan dapat membuka industri baharu, mewujudkan peluang pekerjaan serta menjadikan ekonomi lebih berdaya tahan.
“Dalam dunia yang berubah hari demi hari, kerjasama merupakan aset terpenting kita. Malaysia akan terus memperjuangkan kolaborasi dengan China, ASEAN dan diaspora global untuk mencetus inovasi, menarik pelaburan dan membuka lebih banyak peluang untuk rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
