LAHAD DATU, 19 Nov (Bernama -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam berhasrat menambah bilangan institusi pendidikan berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Lahad Datu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Sharif Musa Sharif Mabul berkata cadangan itu adalah antara manifesto beliau yang mahukan Lahad Datu memiliki institusi pendidikan teknikal seperti Politeknik, Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian selain Maktab Rendah Sains MARA.
Pengerusi Penasihat Giatmara Lahad Datu itu juga berkata usaha tersebut adalah selaras dengan dasar pendidikan negara yang turut memberi penekanan kepada pendidikan TVET.
"Kita tahu ramai dalam kalangan anak-anak kita yang tidak sampai ke peringkat universiti atau malas nak belajar... kita ada peluang untuk anak-anak ini, serapkan mereka kepada TVET agar masa depan mereka terjamin," katanya kepada Bernama selepas menghadiri program pemerkasaan wanita di sini hari ini.
Beliau turut menyasarkan untuk melahirkan 500 graduan TVET pelbagai aliran setahun melalui pemerkasaan aliran pendidikan itu di Lahad Datu.
Menggunakan slogan Silam Maju Dan Indah Tanpa Sampah, Sharif Musa juga mahu mengatasi masalah sampah dan bau kurang menyenangkan untuk memberi keselesaan kepada penduduk Silam dan rakyat Lahad Datu amnya.
Sharif Musa juga bercadang menjadikan Esplanade Lahad Datu sebagai tumpuan makanan laut terkenal di Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 25 Nov untuk undi awal.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
N62: SILAM: SABAH: 28,261
1. Sharif Musa Sharif Mabul (BN-UMNO)
2. Datuk Mizma Appehdullah (GRS-Gagasan Rakyat)
3. Datuk Mohammad Yusof Apdal (Warisan)
4. Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN-Bersatu)
5. Abd Halim Sidek Gulam Hassan (PH-PKR)-tarik diri
6. Amat Kawoh @ Abd Rahman (Bebas/IND)
7. Mohammad Enriquez (SPP)
8. Brahim Bisel (PIS)
9. Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS)
(2020: Datu Dumi Masdal: Warisan Plus-Warisan: Maj: 1,542)
-- BERNAMA
