KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan pemain industri bagi memajukan penggunaan sistem tanpa tunai melalui ekosistem e-pembayaran yang selamat dan inklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farhan Ahmad berkata kerjasama ini telah mendorong pencapaian penting, dengan menekankan bahawa bilangan titik sentuh DuitNow QR telah melebihi 2.7 juta di seluruh negara, menjadikan e-pembayaran lebih mudah diakses oleh pengguna dan perniagaan kecil.
“Ekosistem pembayaran digital Malaysia telah berkembang dengan pesat, dipacu oleh kerjasama merentas seluruh industri.
“Pada 2024, PayNet memproses transaksi bernilai hampir empat kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, mencerminkan skala dan kebolehpercayaan terhadap ekosistem itu,” katanya pada Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran Malaysia (MEEA) 2025 hari ini.
Turut hadir Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
MEEA 2025 yang bertemakan “Leading Progress, Recognising Impact”, mengiktiraf organisasi yang telah membantu menjadikan pembayaran digital sebagai sesuatu yang norma bagi rakyat Malaysia ketika berada di mana-mana sahaja.
Tahun ini MEEA mengiktiraf 30 penerima merentas 22 kategori anugerah atas kepimpinan, inovasi dan impak luar biasa mereka dalam membentuk ekosistem pembayaran digital Malaysia.
Para penerima anugerah termasuk institusi kewangan, perniagaan, teknologi kewangan (fintech) dan buat pertama kalinya melibatkan organisasi media.
-- BERNAMA
