Daripada M. Saraswathi
ADDIS ABABA, 20 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat potensi besar untuk menghubungkan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) dengan pasaran ASEAN, yang dapat membuka ruang pertumbuhan baharu.
Perkara itu ditekankan Perdana Menteri dalam pertemuan beliau dengan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AUC) Mahamoud Ali Youssouf di ibu pejabat beliau di sini.
“Saya menekankan potensi besar untuk menghubungkan AfCFTA dengan pasaran ASEAN, sesuatu yang mampu membuka ruang pertumbuhan baharu, meningkatkan keterhubungan serantau, sekali gus membawa manfaat langsung kepada rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan selepas pertemuan itu.
Beliau berkata Malaysia juga bersedia berkongsi kepakaran dalam bidang yang selari dengan agenda pembangunan Afrika, termasuk kewangan Islam, ekonomi digital, pembangunan infrastruktur mampan serta sektor komoditi bernilai tinggi seperti minyak sawit.
“Insya-Allah, Malaysia akan terus memperkukuh hubungan dengan negara-negara Afrika berteraskan solidariti, persahabatan tulen dan semangat saling menghormati,” kata beliau.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata beliau turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Mahamoud Ali pada Mac lepas, selain menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara Afrika secara lebih strategik dan berpandangan jauh.
Beliau berkata pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di sini pada September lepas menjadi pemangkin penting untuk memperluas jaringan kerjasama dengan negara-negara anggota Kesatuan Afrika.
Kesatuan Afrika yang ditubuhkan pada Julai 2002 dan dianggotai 55 negara merupakan suara perwakilan bagi Afrika di pentas global dengan fungsi utamanya antara lain menggalakkan kerjasama antarabangsa.
Ethiopia, negara yang dilingkungi daratan yang paling ramai penduduknya di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2024.
Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia berjumlah RM625.6 juta, dengan eksport dari Malaysia bernilai RM579.9 juta, meningkat 50 peratus daripada tahun sebelumnya.
Anwar kini berada di Addis Ababa sebagai negara pertama dalam rangka lawatan ke benua Afrika.
Perdana Menteri dijadualkan berangkat ke Johannesburg, Afrika Selatan hari ini untuk Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) sebaik sahaja selesai lawatan rasmi selama tiga hari di sini.
-- BERNAMA
