AM

NG MERS 999: PERKHIDMATAN SUARA 999 KEKAL BEROPERASI, SAVEME999 SEBAGAI SALURAN TAMBAHAN - TM

20/11/2025 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Perkhidmatan 999 melalui panggilan suara kekal beroperasi sebagai saluran utama bantuan kecemasan di bawah platform baharu Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999), menurut Telekom Malaysia (TM) hari ini.

TM memaklumkan aplikasi SaveME999 pula berfungsi sebagai saluran tambahan bagi perkhidmatan kecemasan.

Menurut TM, pihaknya mengambil maklum berlaku insiden talian berkenaan tidak dapat dihubungi dan mengalami kelewatan respons kecemasan pada peringkat awal pelaksanan NG MERS 999, namun perkara itu telah diberi perhatian utama.

“Selepas peralihan ini, kami menyaksikan peningkatan mendadak dalam jumlah panggilan. Jika sistem sebelum ini menerima purata sekitar 50,000 panggilan sehari, NG MERS 999 yang baharu pula mencatat hampir 70,000 panggilan sehari.

“Sekitar lima peratus panggilan itu merupakan kecemasan sebenar manakala selebihnya panggilan senyap dan palsu. Namun, jumlah insiden kecemasan sebenar kekal tidak berubah, iaitu purata sekitar 3,500 laporan kecemasan dihantar setiap hari,” menurut kenyataan itu.

TM menjelaskan peningkatan mendadak itu telah menjejaskan prestasi sistem dan langkah segera telah diambil untuk memulihkan perkhidmatan termasuk meningkatkan kapasiti pelayan serta mengoptimumkan konfigurasi pelayan.

“Selain itu, sumber tambahan juga telah digerakkan di pusat panggilan bagi menangani jumlah panggilan yang tinggi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, platform MERS999 yang berusia 17 tahun itu dinaik taraf kerana telah mencapai had teknikalnya dan tidak lagi mampu menyokong keperluan kecemasan negara yang semakin meningkat.

“NG MERS 999 diperkenalkan bagi meningkatkan kebolehcapaian, mengukuhkan koordinasi pelbagai agensi serta menyelaraskan Malaysia dengan standard kecemasan antarabangsa yang moden,” menurut kenyataan itu.

TM komited memastikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai dan memainkan peranan proaktif dengan kerjasama lima agensi kecemasan, iaitu Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menangani isu berkenaan serta memastikan operasi kecemasan berjalan lancar.

“Pasukan kami bekerja tanpa henti untuk menangani perkara ini dan memastikan setiap rakyat Malaysia memperoleh bantuan dengan cepat dan boleh dipercayai, sama ada melalui perkhidmatan suara 999 atau saluran digital.

“Kami berharap orang ramai menggunakan perkhidmatan 999 dengan bertanggungjawab kerana panggilan tidak perlu atau palsu boleh menghalang bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar menghadapi kecemasan. Mengurangkan penyalahgunaan sedemikian akan meningkatkan keberkesanan dan keupayaan respons operasi,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan