POLITIK

BONGAWAN BERPOTENSI JADI HAB MINYAK DAN GAS SABAH - ANIFAH

20/11/2025 09:18 PM

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Pembangunan Bongawan sebagai satu daripada hab minyak dan gas di Sabah akan menjadi antara teras strategik manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan berkenaan jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 ini.

Calon GRS bagi kawasan berkenaan Tan Sri Anifah Aman berkata Bongawan mempunyai potensi besar memandangkan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) turut diwujudkan di kawasan ini hasil usaha beliau semasa menjadi Ahli Parlimen Kimanis sebelum ini.

Selain itu, katanya usaha itu mampu direalisasikan susulan pengalaman dan hubungan baik beliau dengan pihak berkaitan khususnya luar negara semasa menjadi Menteri Luar sebelum ini.

"Ia bukan sekadar cadangan politik tetapi perancangan ini adalah satu agenda pembangunan yang saya yakin boleh direalisasikan berdasarkan pengalaman saya dan potensi dimiliki Bongawan.

"Kita berjaya mewujudkan SOGT di Kimanis yang kini menjadi tonggak industri tenaga di Sabah dan jika ini mampu dilakukan, tidak mustahil Bongawan juga dapat mengulangi kejayaan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelbagai manfaat bakal dinikmati warga Bongawan menerusi kewujudan hab minyak dan gas di kawasan berkenaan antaranya pertumbuhan ekonomi setempat yang pesat, katanya.

Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata hab berkenaan berpotensi meningkatkan peluang pekerjaan terutamanya golongan muda dalam pelbagai sektor tenaga kerja secara langsung mahupun tidak langsung, termasuk perkhidmatan sokongan industri.

Beliau berkata hab itu juga mampu melonjakkan ekonomi serta pemodenan insfrastruktur di Bongawan seperti jalan raya, pelabuhan kecil/logistik, sistem bekalan air, elektrik dan telekomunikasi yang akan ditingkatkan untuk menyokong hab industri.

"Banyak lagi manfaat daripada usaha ini yang akan menjadikan Bongawan sebagai tumpuan baharu di Sabah, malah boleh menjadi zon strategik seperti Bintulu, Sarawak dan Kemaman di Terengganu,” katanya.

Menurut beliau, ia akan mewujudkan identiti baharu kepada Bongawan sebagai pusat industri tenaga Sabah, sekali gus dikenali di peringkat nasional.

Sehubungan itu, Anifah menyeru sokongan dan mandat rakyat Bongawan pada PRN ini bagi membuktikan aspirasi itu dapat direalisasikan demi kebaikan bersama.

"Izinkan saya menebus perkara sebelum ini yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya, kerana saya tidak mahu meninggalkan legasi tergantung dan saya mahu menebus semula apa tidak sempat diselesaikan,” katanya.

Anifah bakal berdepan saingan sembilan penjuru, antaranya Timbalan Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Kimanis serta calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin dan penyandang kerusi berkenaan dari Parti Warisan Sabah (Warisan) Dr Daud Yusof.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala 25 Nov untuk undi awal.

 Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 

PENCALONAN/NOMINATION - SABAH
N30: BONGAWAN: SABAH: 24,019
 
1. Dolores Micheal (STARSABAH)
2. Dr Daud Yusof (Warisan)
3. Datuk Mohamad Alamin (BN-UMNO)
4. Md Haris Md Tahir (Bebas/IND)
5. Peter Matinjal (KDM)
6. Hussin Dasar @ Esah (PPRS)
7. Ridzuan Agus Payong (PN-Bersatu)
8. Royston Adven (PIS)
9. Tan Sri Anifah Aman @ Haniff Amman (GRS-PCS)
 
(2020: Dr Daud Yusof: Warisan Plus-Warisan: Maj: 1,802)
 
-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan