AM

PROJEK EKSKAVASI, PULIHARA BANGUNAN WARISAN PERLUKAN PERUNTUKAN BESAR - PERZIM

21/11/2025 04:49 PM

MELAKA, 21 Nov (Bernama) -- Sejumlah besar peruntukan diperlukan bagi memastikan usaha menyelamat, memulihara dan mendokumentasikan hasil ekskavasi di Pulau Melaka dilakukan secara berterusan, kata Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Erne Hamsah.

Beliau berkata penemuan terbaharu yang merupakan serpihan kayu dipercayai rangka kapal memerlukan kajian mendalam dan kepakaran bidang arkeologi dari dalam dan luar negara.

"Malah, kita jangka lebih banyak penemuan artifak sampingan seperti duit syiling dan porselin selepas ini. Tempoh bagi semua proses ini bukanlah satu atau dua tahun tetapi berkemungkinan lima tahun atau lebih.

"Untuk itu, kita sangat mengharapkan Kerajaan Melaka menerusi belanjawan negeri 2026 yang akan diumumkan nanti dapat menyediakan dana agak besar untuk Perzim," katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Muzium Sastera Melaka serta Majlis Peluncuran Katalog Manuskrip Melayu di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan.

Erne berkata peruntukan berkenaan juga bukan hanya diperlukan bagi projek ekskavasi, malah turut meliputi kerja-kerja pemuliharaan bangunan serta monumen bersejarah yang berada di bawah tanggungjawab Perzim.

"Di bawah Perzim terdapat 21 muzium dan sudah tentu peruntukan besar diperlukan bagi memastikan bangunan lama yang dijadikan muzium dapat dipulihara. Dua tahun sebelum ini, kita diperuntukkan RM50 juta dan berharap sekurang-kurangnya jumlah yang sama (diterima) tahun depan," katanya.

Sementara itu, Zaidi berkata kerajaan negeri sedang menyusun strategi terbaik menerusi belanjawan akan datang dalam memaksimumkan sumber daripada sektor pelancongan untuk pembangunan ekonomi negeri.

"Dengan bajet yang ada, saya percaya ia akan memastikan peningkatan jumlah pelancong dan pada masa yang sama (digunakan) merangkumi kerja-kerja pemuliharaan kerana monumen-monumen berusia ratusan tahun ini adalah imej Melaka dan sudah tentu amat penting dipelihara," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan