AM

SELANGOR PERKENAL FI KELESTARIAN TAHUN DEPAN - EXCO

21/11/2025 06:50 PM

SHAH ALAM, 21 Nov (Bernama) -- Selangor akan memperkenalkan fi kelestarian kepada pengunjung bermula 1 Jan 2026 bagi memastikan kelestarian warisan dan alam sekitar terus terpelihara ketika melancong di negeri berkenaan, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata mekanisme kutipan akan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala pihak hotel hanya berperanan sebagai pengurus.

“Fi ini tidak membebankan pengunjung dan harga ditetapkan mengikut jenis penginapan iaitu RM7 untuk hotel lima bintang, RM5 untuk hotel empat bintang, RM3 untuk hotel tiga bintang dan RM2 untuk inap desa atau AirBNB,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ng berkata langkah itu selaras dengan negeri dan tempat pelancongan lain yang telah mengenakan caj kelestarian termasuk Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Langkawi, Perak dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata hasil kutipan akan dimasukkan ke dalam satu tabung khas yang diuruskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi disalurkan kembali kepada industri pelancongan untuk aktiviti pemuliharaan dan pembangunan infrastruktur. 

Selain itu, Ng turut mengumumkan inisiatif Surprising Selangor sempena Tahun Melawat Selangor 2025 yang akan disambung sehingga 2026. 

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan pendapatan daripada pelancongan sebanyak RM15 bilion dengan usaha meningkatkan bilangan pelancong bermalam dan memastikan setiap pelawat mengeluarkan resit perbelanjaan sah.

“Pelancongan satu daripada industri paling cepat berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negeri. Inilah sebabnya kita perlu memastikan setiap langkah diambil dapat memberikan manfaat kepada rakyat Selangor,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan