KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melancarkan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) bagi pembekalan 2025 untuk memperkasakan usaha penanaman padi bukit dan huma di luar kawasan jelapang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata menerusi skim itu, sebanyak RM42 juta diperuntukkan bagi membekalkan baja sebatian Padi 4 dan baja urea cecair serta tambahan RM11.4 juta untuk bekalan racun rumpai cecair.
“Skim tahun ini bermula pada musim penanaman Oktober yang akan memberi manfaat kepada kawasan tanaman padi bukit seluas kira-kira 44,000 hektar di Sabah dan Sarawak,” katanya pada Program Libat Urus bersama-sama Peladang, Penternak dan Nelayan di Dewan Kampung Johan Jaya di Sook.
Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pengarah LPP Amir Matamin dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Muhammad Faris Arriffin.
Mohamad berkata skim itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan NAFAS yang bertanggungjawab menyelaraskan proses pembekalan serta pengagihan baja dan racun kepada penanam padi bukit yang layak menerima bantuan.
“Kementerian sedar di Sabah, penanaman padi bukit masih dilaksanakan secara tradisi turun-temurun. Justeru, dasar kementerian kini tidak hanya tertumpu di kawasan jelapang padi utama di Semenanjung tetapi kita juga memperkasakan kawasan luar jelapang termasuk di seluruh Sabah,” katanya.
Mohamad berkata KPKM mahu memastikan penanaman padi bukit beralih daripada sekadar sara diri kepada skala lebih komersial dengan produktiviti tinggi.
Beliau berkata pelaksanaan skim itu juga membuktikan komitmen kerajaan meringankan beban pesawah menerusi pemberian subsidi dan insentif berterusan serta menaik taraf intrastruktur pertanian.
“Ini jaminan kerajaan bahawa nasib peladang seluruh negara tidak akan sesekali dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.
“Ia diharap dapat meningkatkan hasil tanaman, menyokong kelestarian penanaman padi bukit atau huma dan memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar sekali gus menyumbang kepada kestabilan bekalan beras,” katanya.
Selain itu, Mohamad berkata KPKM berhasrat mempertimbangkan Keningau sebagai hab pengeluar padi bukit dan huma utama di Sabah mengambil kira tanah yang subur.
“Kita mahu melihat penanaman padi bukit di sini beralih ke tahap lebih tinggi, bukan sekadar untuk kegunaan sendiri tetapi mampu dikomersialkan sebagai beras premium,” katanya.
Beliau berkata lawatan ke Projek Tanaman Padi Luar Jelapang di Kampung Biah, Sook merupakan manifestasi keseriusan kerajaan memperkasakan infrastruktur pengairan dan sokongan di kawasan itu.
Program turut dimeriahkan dengan Jualan Agro MADANI dibawakan khas oleh LPP, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang menawarkan penjimatan istimewa potongan harga sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran biasa.
-- BERNAMA
