AM

ETS3 JOHOR BAHRU-KL SENTRAL DIJANGKA MULA OPERASI 12 DIS INI - LOKE

22/11/2025 04:20 PM

KLUANG, 22 Nov (Bernama) -- Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi laluan KL Sentral-Johor Bahru dijangka mula beroperasi pada 12 Dis ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata majlis perasmian perkhidmatan itu dijadualkan berlangsung pada 11 Dis ini dan pihaknya telah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk berangkat merasmikan perkhidmatan baharu berkenaan di Johor Bahru. 

Loke berkata fokus awal operasi ETS3 itu adalah laluan Johor Bahru–Kuala Lumpur bagi memastikan kekerapan tinggi berbanding laluan lebih panjang.

“Kalau jarak itu terlalu panjang dan perkhidmatan terlalu panjang (sehingga ke utara), satu hari kami hanya boleh buat dua trip, satu naik dan satu turun.

“Jadi, kalau perjalanan lebih pendek seperti Johor Bahru ke Kuala Lumpur, akan ada banyak kekerapan (tren),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Rel Kluang 2025 di Laman Rel Mahkota di sini hari ini.

Laluan ETS3 dari Kuala Lumpur ke Kluang telah dilancarkan pada Ogos lepas. 

Semasa pelancaran itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk memandu sendiri tren ETS3 yang berkeupayaan mencecah kelajuan operasi hingga 140 km/j itu dari KL Sentral menuju ke Stesen Kluang. 

Loke ketika ditanya mengenai status Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) berkata pembangunan sistem itu masih berjalan dan tidak pernah ditangguhkan.

Beliau berkata projek itu kini berada di peringkat penilaian permohonan cadangan (RFP) dan sedang diperhalusi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) selepas beberapa syor yang diterima belum memenuhi keperluan.

“Sudah tentu pihak kementerian akan berbincang dengan pihak UKAS untuk mempercepatkan proses penganugerahan kepada projek itu dalam masa terdekat,” katanya.

Pada Khamis lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh memohon pertimbangan kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan pelaksanaan ART selewat-lewatnya awal tahun depan.

Beliau berkata projek itu harus dilaksanakan untuk menyokong sistem pengangkutan awam, sekali gus menyurai aliran trafik sebelum Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura beroperasi sepenuhnya pada 2027.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan