AM

PROGRAM RANCAKKAN MADANI: PERSIARAN PERDANA DITUTUP SECARA BERFASA BERMULA ESOK

22/11/2025 04:02 PM

PUTRAJAYA, 22 Nov (Bernama) -- Sebahagian Persiaran Perdana di Presint 2, Putrajaya akan ditutup secara berfasa bermula esok hingga 10 Dis sempena penganjuran Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 (Program Rancakkan MADANI).

Menurut hebahan rasmi penganjur di media sosial, penutupan jalan melibatkan lokasi penganjuran acara tersebut di pekarangan Dataran Putrajaya.

Bagi fasa pertama, bermula esok hingga 26 Nov, hanya dua lorong Persiaran Perdana akan ditutup, dari lampu isyarat Jalan Kemerdekaan sehingga lampu isyarat Jalan Pembangunan.

Penutupan penuh jalan pula akan dilaksanakan mulai 12.01 pagi, 27 Nov hingga 10 Disember.

"Pengguna dinasihatkan berhati-hati memandu, memperlahankan kenderaan dan mematuhi arahan petugas. Segala kesulitan amat dikesali," menurut hebahan itu.

Program Rancakkan MADANI akan berlangsung pada 5 hingga 7 Dis bagi memaparkan pencapaian, kemajuan dasar serta keberhasilan inisiatif 2025 secara telus terus kepada rakyat.

Program ini juga menjadi platform bagi rakyat bertemu pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jemaah Menteri serta pimpinan tertinggi kerajaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan