SUKAN

SELANGOR BERHASRAT ANJUR SUKAN PERPADUAN ISLAM 2029 SECARA GILANG-GEMILANG

22/11/2025 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Malaysia menerusi negeri Selangor berhasrat untuk menganjurkan Sukan Perpaduan Islam 2029 dalam suasana gilang-gemilang, kata Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nasir Ali.

Beliau berkata memandangkan ia detik penting dalam pergerakan sukan Islam di Malaysia, MOM berharap dapat bekerjasama rapat dengan Selangor dan Persatuan Sukan Perpaduan Islam (ISSA) dalam menganjurkan temasya sukan berkenaan yang akan ditambah nilai dengan hospitaliti Malaysia.

“Bagi pihak Presiden MOM dan Naib Presiden Majlis Olimpik Asia bagi zon Asia Tenggara Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, kami ingin merakamkan penghargaan kepada ISSA di bawah kepimpinan Putera Abdulaziz Turki Al-Faisal kerana memberi kepercayaan kepada Malaysia dan Selangor untuk menganjurkan Sukan Perpaduan Islam ketujuh pada 2029,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ISSA pada 8 Okt telah menganugerahkan hak penganjuran Sukan Perpaduan Islam 2029 kepada Malaysia dan Selangor ketika perhimpunan agung ke-14 persatuan itu.

Sementara itu, majlis penyerahan penganjuran telah diadakan semasa majlis penutup Sukan Perpaduan Islam keenam di Stadium Universiti Puteri Nourah Binti Abdulrahman di Riyadh, Arab Saudi pada Jumaat.

Dalam segmen terakhir majlis itu, Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Saudi (SOPC) merangkap pengerusi jawatankuasa penganjur tertinggi Sukan Perpaduan Islam keenam, Putera Fahd Jalawi Abdulaziz Musaed telah menyerahkan bendera ISSA kepada Putera Abdulaziz.

Seterusnya, Putera Abdulaziz menyerahkan bendera ISSA kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi serta Mohd Nasir, yang secara rasmi menandakan penyerahan tanggungjawab untuk menganjurkan Sukan Perpaduan Islam edisi seterusnya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan