AM

BELAJAR DARIPADA YOUTUBE, PENOREH GETAH JANA PENDAPATAN HASIL JUAL PERAHU

22/11/2025 07:13 PM

PASIR MAS, 22 Nov (Bernama) -- Seorang penoreh getah kini mampu menjana pendapatan tambahan, terutama pada musim banjir selepas belajar teknik pembuatan perahu gentian kaca melalui YouTube.

Wan Mohd Zain Wan Jaafar, 57, dari Kampung Padang Licin di sini berkata bermula dengan tontonan di media sosial itu, kemahirannya kini menjadi penyelamat kewangan.

“Pada mulanya saya hanya ingin mencuba dan mengisi masa lapang tetapi selepas kampung saya beberapa kali dilanda banjir sejak 2022, saya sedar kemahiran ini boleh membantu keluarga dari segi kewangan,” katanya.

Wan Mohd Zain berkata dorongan untuk serius dalam bidang ini semakin kuat apabila musim hujan menyukarkan beliau untuk menoreh getah.

“Dahulu ia sekadar hobi tetapi sejak Jun tahun ini, saya tekad membuat dan menjual perahu. Alhamdulillah, percubaan itu berjaya dan kini mendapat sambutan ramai termasuk daripada kawasan sekitar yang kerap dilanda banjir,” katanya.

Wan Mohd Zain berkata beliau dan rakannya Sukri Zakaria, 53, menyiapkan perahu sepanjang 18 kaki dalam tempoh lima hingga enam hari, bergantung pada keadaan cuaca.

“Setiap unit, yang boleh memuatkan dua hingga tiga orang dijual pada harga RM1,350 termasuk penghantaran dan kami mampu menghasilkan sehingga tiga unit sebulan.

“Permintaan sangat tinggi dan saya bernasib baik mendapat bantuan rakan. Buat masa ini, terdapat lima tempahan dalam senarai, kebanyakannya dari penduduk kampung sendiri termasuk seorang rakan dari Kuala Lumpur yang menempah dua unit untuk digunakan di Kelantan,” katanya.

Hasil kreativiti yang diasah sendiri melalui YouTube, Wan Mohd Zain bukan sahaja membuka peluang pendapatan baharu, malah menjadi inspirasi kepada komuniti untuk menghadapi cabaran banjir dengan bijak.

Sementara itu, seorang pembeli Daud Ismail, 72, dari Kampung Gual Mesa berkata beliau tidak boleh lagi menangguhkan pembelian perahu selepas kediamannya dinaiki air melebihi paras dada pada tahun lepas.

“Di rumah saya ada enam orang termasuk isteri, tiga anak dan seorang cucu. Bila air naik, perahu sahaja cara untuk bergerak. Bagi saya, memiliki perahu adalah satu keperluan apatah lagi sekiranya tempat tinggal kita di kawasan rendah dan kerap pula dilanda banjir,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan