KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kerangka Sekolah Selamat 2.0 perlu mengintegrasikan elemen sokongan emosi, pencegahan trauma dan penglibatan komuniti secara sistematik, kata Ketua Penyelidik Kertas Cadangan Integrasi Kerangka Sekolah Selamat 2.0 Prof Madya Datuk Dr Monna Ong Siew Siew.
Beliau berkata ekosistem pendidikan sedia ada masih menumpukan aspek disiplin bersifat hukuman, justeru kerangka baharu itu dicadangkan bagi memastikan cabaran kesihatan mental, buli siber dan psikologi pelajar dapat ditangani secara holistik.
“Matlamat utamanya adalah untuk membina satu ekosistem pembelajaran yang selamat, berdaya tahan, dan berperikemanusiaan dengan menjadikan kesejahteraan mental sebagai satu indikator utama kejayaan pendidikan.
“Ekosistem bersepadu ini turut merangkumi jaringan sokongan antara sekolah, ibu bapa, komuniti setempat serta agensi kesihatan dan keselamatan. Dengan integrasi ini, ia berperanan sebagai tulang belakang sistem dasar nasional yang menyelaraskan maklumat dan intervensi merentas sektor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan kertas cadangan integrasi Sekolah Selamat 2.0 pada Forum Akademik Kesihatan Mental dan Ketahanan Emosi di Sekolah di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di sini hari ini, yang turut dihadiri pengetua, guru besar, kaunselor sekolah serta ibu bapa.
Kerangka Sekolah Selamat sebelum ini diperkenal Kementerian Pendidikan (KPM) sejak 2002, dengan tujuan utama bagi mewujudkan persekitaran sekolah selamat untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta menjalankan kegiatan kokurikulum tanpa gangguan mana-mana pihak.
Monna berkata tekanan akademik, krisis emosi dan risiko tingkah laku berbahaya menunjukkan keperluan segera kepada sistem sokongan psikososial lebih tersusun terutama apabila data Sistem Pengurusan Disiplin Murid merekodkan peningkatan kes buli fizikal kepada 7,681 kes tahun lepas berbanding 6,528 kes pada 2023.
“Apabila kita lihat kepada statistik, terdapat peningkatan sebanyak 60 peratus daripada pelajar-pelajar kita yang sedang mengalami gejala kemurungan, keresahan dan juga tekanan pascapandemik.
“Jadi, masalah keganasan dan gangguan emosi dalam kalangan pelajar tidak boleh dilihat semata-mata sebagai satu isu disiplin. Ia adalah akibat tekanan psikologi, pengasingan sosial dan kerapuhan sistem sokongan emosi di sekolah,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kerangka baharu itu turut mencadangkan penubuhan Majlis Nasional Kesihatan Mental dan Intervensi Krisis Sekolah bagi menyelaras gerak kerja rentas agensi dan keperluan menjalankan ujian rintis bagi kesemua cadangan di bawah kerangka baharu.
-- BERNAMA
