Daripada Saraswathi Muniappan
JOHANNESBURG, 22 Nov (Bernama) -- Negara-negara boleh bertahan dengan kejutan global hanya apabila dasar mereka kukuh, diselaraskan dan bersedia menghadapi tekanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia telah menyaksikan sendiri bahawa daya tahan bukan terbina secara kebetulan tetapi terhasil daripada pilihan yang telah telah dikaji dengan teliti dan peraturan yang jelas yang membantu negara-negara menangani keadaan tidak menentu.
“Dalam bekerjasama dengan negara-negara jiran Asia Tenggara kami bagi menangani kejutan tarif, tekanan rantaian bekalan dan perkembangan teknologi yang pesat, kami mendapati bahawa apabila dasar diselaraskan dan peraturan jelas, kesan daripada kejutan hanya berada di tahap minimum.
“Pengajarannya jelas, (bahawa) daya tahan datang daripada kesediaan bersama, bukan secara berasingan,” kata beliau semasa Sesi 1 Sidang Kemuncak Pemimpin G20, bertajuk “Inclusive and Sustainable Economic Growth Leaving No One Behind: Building Our Economies; the Role of Trade; Financing for Development; and the Debt Burden” (Pertumbuhan Ekonomi Inklusif dan Mampan Tanpa Ada Yang Ketinggalan: Membina Ekonomi Kita; Peranan Perdagangan; Pembiayaan untuk Pembangunan; dan Beban Hutang) di sini, hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pengajaran itu penting kerana gangguan seterusnya mungkin lebih sukar untuk dibendung.
"Kecerdasan buatan (AI) akan mencorakkan semula pasaran buruh yang mana sukar untuk ditandingi oleh institusi kita.
"Tanpa sokongan awal dalam peralihan ini, pekerja, terutamanya golongan muda, akan menghadapi perubahan ini sendirian," kata beliau.
Anwar berkata sejarah telah menunjukkan bahawa akibat tidak bersedia menghadapi globalisasi masyarakat akan berdepan pelbagai isu seperti gaji yang tidak berubah, kepercayaan yang terhakis dan kebangkitan politik yang lebih cenderung kepada rungutan.
"Dengan AI, ketidakstabilan menjadi risiko sebenar jika negara-negara memasuki peralihan ini tanpa sebarang persediaan. Ini akan menjadi salah satu cabaran penting pada era sekarang," kata beliau.
Anwar berkata untuk menghadapi cabaran tersebut, negara-negara mesti terlebih dahulu melengkapkan rakyat mereka, terutamanya golongan belia, untuk bergerak seiring dengan perubahan teknologi.
"Peluang untuk latihan dan jaringan keselamatan yang boleh terjamin adalah perlu, (manakala) firma kecil dan sederhana, yang menanggung sebahagian besar beban pekerjaan, (juga) memerlukan sokongan," kata beliau.
Keduanya, kata beliau, perdagangan perlu terus kekal terbuka, stabil dan berasaskan peraturan.
"Di Asia Tenggara, kami mengukuhkan lagi perdagangan antarabangsa. Kita telah melihat bahawa pasaran yang terhubung dan peraturan yang jelas dan stabil telah mengukuhkan rantaian bekalan dan memberi keyakinan kepada firma untuk melabur," kata beliau.
Justeru, kata beliau, rantau itu berusaha mempercepatkan usaha memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, yang akan menetapkan piawaian umum untuk data, pembayaran dan perdagangan digital.
Ketiga, kata Anwar, daya tahan global tidak boleh dibina berlandaskan fiskal yang lemah dan menyatakan banyak ekonomi membangun kini memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan untuk membayar hutang berbanding pendidikan atau pelaburan.
“Negara-negara memerlukan kapasiti untuk melabur sebelum berlakunya gangguan, bukan selepas ia berlaku. Bank pembangunan perlu bersedia untuk bertindak lebih pantas dan bekerjasama rapat dengan negara-negara untuk menyokong pelaburan yang membina daya tahan.
“Oleh itu, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan semua negara rakan bagi menghadapi cabaran ini dan membantu mengekalkan ekonomi global yang terbuka dan berasaskan peraturan yang memberi peluang yang saksama kepada rakyat kita untuk berkembang maju,” kata beliau.
Turut hadir ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Ini merupakan penyertaan kedua Anwar dalam Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai negara tetamu. Kali pertama adalah di Brazil tahun lepas.
Penyertaan kali ini adalah jemputan daripada Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
Anwar juga akan turut menyampaikan kenyataan Malaysia dalam Sesi 2, bertajuk “A Resilient World — the G20’s Contribution: Disaster Risk Reduction; Climate Change; Just Energy Transitions; Food Systems” (Dunia yang Berdaya Tahan – Sumbangan G20: Pengurangan Risiko Bencana; Perubahan Iklim; Peralihan Tenaga yang Saksama; Sistem Makanan) pada sebelah petang.
Usai sesi tersebut Perdana Menteri akan menghadiri jamuan makan malam Pemimpin G20 yang dihoskan oleh Ramaphosa di NASREC Expo Centre.
-- BERNAMA
