AM

UPM SARAWAK RAKAN STRATEGIK UTAMA AGENDA KETERJAMINAN MAKANAN SARAWAK - AARON

22/11/2025 10:20 PM

KUCHING, 22 Nov (Bernama) -- Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak merupakan rakan strategik utama negeri Sarawak dalam agenda keterjaminan makanan, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata pusat pengajian tinggi yang terletak di Bintulu itu juga, kini memainkan peranan penting sebagai pusat rujukan akademia Borneo, pusat penyelidikan biodiversiti tropika dan hab pembangunan komuniti di negeri itu.

“Saya pasti kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak Tan Sri  Abang Johari Tun Openg, akan terus menyokong pembangunan kecemerlangan UPM Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Alumni Sirih Pulang ke Gagang Homecoming Alumni XIII UPM di sini, malam ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Alumni UPM Sarawak Kuching Datuk Sylvester Entri Muran dan Pengarah UPM Sarawak Prof Dr Shahrul Razid Sarbini.

Beliau berkata UPM Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, apabila kampus yang pada asalnya hanya dilengkapi kemudahan asas sederhana di Semenggok, Kuching kini berkembang pesat menjadi institusi ilmu yang berpengaruh.

“Perkembangan ini mencerminkan usaha berterusan universiti tersebut dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi serta infrastruktur yang semakin lengkap untuk memenuhi keperluan akademik dan penyelidikan.

“Seiring dengan kemajuan itu, ia kini muncul sebagai gedung ilmu penting dalam pelbagai bidang strategik seperti pertanian moden, sains, biodiversiti, perhutanan dan akuakultur,” katanya.

Aaron berkata kepelbagaian bidang yang diterajui universiti tersebut turut menyokong agenda pembangunan negeri dan negara, sekali gus menjadikannya antara institusi yang memainkan peranan utama dalam memacu kemajuan sektor-sektor penting di negara ini.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan