AM

BANJIR DI HATYAI: KOORDINASI BANTUAN DILAKUKAN DENGAN KERAJAAN THAILAND - AHMAD ZAHID

23/11/2025 12:51 PM

BAGAN DATUK, 23 Nov (Bernama) -- Kementerian Luar dan kerajaan Thailand akan melaksanakan koordinasi bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkandas akibat bencana banjir di Hatyai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Malaysia juga akan memperoleh maklumat terkini berkenaan situasi banjir yang berlaku di wilayah itu menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

“Kita akan mendapat maklumat terkini daripada Konsul Jeneral kita di Songkhla, serta koordinasi akan dibuat dengan Kementerian Luar dan mungkin dengan kerajaan Thailand dan juga Gabenor di wilayah Songkhla untuk kita berikan bantuan kepada mereka. 

“Dan seboleh mungkin mereka mahu pulang cepat ke negara kita dan mungkin kita sediakan kenderaan berat untuk mengangkut mereka supaya dapat pulang ke kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS): Moh Kita Sihat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan langkah diambil kerajaan sekiranya mangsa yang juga rakyat Malaysia terus terkandas di wilayah itu akibat banjir.

Malam tadi, media melaporkan kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terkandas berikutan banjir di Hatyai dan beberapa kawasan di sekitar selatan Thailand dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Mengulas berkenaan laporan media itu, Ahmad Zahid berkata dijangkakan air akan surut pada tengah hari ini dan berharap koordinasi dapat dilakukan untuk membantu rakyat Malaysia yang terperangkap supaya mereka dapat dibawa pulang dengan segera.

“Terutamanya para pelajar dan guru yang terperangkap, kira-kira 40 orang dan kita harap mereka bekerjasama dengan Konsul Jeneral di Songkhla untuk dapat kembali ke tanah air,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata beliau telah membentangkan kepada Jemaah Menteri bahawa kesiapsiagaan melalui Jawatankuasa Bencana Pusat dan juga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah digerakkan bermula pada 13 Nov lepas bagi musim Monsun Timur Laut (MTL).

“Kini terdapat enam negeri yang terlibat, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta sedikit di utara Perak. 

“Kita telah mengadakan koordinasi dengan Jabatan Meteorologi Malaysia, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi penguatkuasaan yang lain agar apabila amaran berpindah itu diberi tiga hari lebih awal daripada jangkaan untuk luruan hujan bertambah dan air meningkat, maka kita harap amaran awal ini dapat dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Ditanya langkah diambil kerajaan sekiranya terdapat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terperangkap dalam bencana banjir, Ahmad Zahid berkata Kementerian Pendidikan mempunyai langkah-langkah yang akan dilaksanakan bagi menangani isu terbabit.

Berhubung program hari ini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ahmad Zahid berkata sebanyak 1,951 orang menyertai tiga acara yang diadakan hari ini.

Terdahulu, beliau melepaskan Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah 2025 kategori 5 kilometer dan menyempurnakan Program ANMS 2025 membabitkan program Santuni MADANI bersama MyCHAMPION serta Gotong-Royong MEGA (Perangi Aedes 2.0 Peringkat Kebangsaan).

Beliau berkata terdapat peserta antaranya dari Jerman, Maldives dan Singapura yang menyertai larian Jambatan Sultan Nazrin Shah yang memasuki edisi kedua pada tahun ini.

“Insya-Allah, program larian itu akan menjadi acara tahunan. Yang paling penting adalah untuk menjadikan larian itu suatu amalan bagi kesihatan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan