AM

KKM LAKSANA PELAN TINDAKAN KOMPREHENSIF PERKUKUH KESIAPSIAGAAN HADAPI MTL

23/11/2025 12:15 PM

PUTRAJAYA, 23 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan Pelan Tindakan Komprehensif untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan awam sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL), yang bermula pada 13 Nov lepas dan dijangka berterusan hingga Mac 2026.

Menurut kenyataan KKM hari ini, pelan tindakan itu digerakkan melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi memastikan kesiapsiagaan pada semua peringkat untuk menjamin perkhidmatan berterusan dan kesediaan bantuan.

KKM memaklumkan pelan tindakan terbabit merangkumi jaminan kesinambungan perkhidmatan, penggerakan pasukan perubatan kecemasan (EMT) dan kawalan kesihatan awam serta pemantauan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut KKM, fasiliti kesihatan primer dan hospital berada pada tahap kesiapsiagaan optimum dengan tenaga kerja, peralatan dan logistik yang mencukupi, serta fasiliti alternatif telah dikenal pasti bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas sekiranya fasiliti utama mengalami gangguan banjir.

Selain itu, KKM menjelaskan semua JKN telah mengemas kini aset, peralatan, kenderaan, dan logistik yang sedia digerakkan pada bila-bila masa dan stok ubat-ubatan di fasiliti kesihatan adalah mencukupi sekurang-kurangnya untuk tiga bulan, dengan bekalan tambahan tersedia daripada pembekal konsesi.

Pasukan perubatan kecemasan juga bersedia digerakkan yang terdiri daripada Pasukan Penilaian Pantas (RAT), Pasukan Tindakan Pantas (RRT), Medical Emergency Response Team (MERT) dan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) untuk menjalankan penilaian kesihatan dan rawatan di PPS, pemantauan penyakit, pemeriksaan persekitaran serta memberikan sokongan psikososial kepada mangsa.

Selain itu, KKM memaklumkan semua PPS yang dikenal pasti diperiksa lebih awal bagi menjamin aspek keselamatan, kebersihan dan kesesuaian lokasi sebelum diaktifkan.

Menurut KKM, aktiviti sanitasi di PPS serta latihan simulasi banjir di fasiliti kesihatan telah dilaksanakan untuk memastikan kesiapsiagaan petugas di lapangan berada pada tahap tertinggi.

Dalam masa yang sama, KKM akan meneruskan kerjasama rapat dengan agensi kerajaan lain bagi menyelaras bantuan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

KKM turut menasihati orang ramai di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa bersedia, berwaspada dan mematuhi arahan pihak berwajib.

Maklumat lanjut tentang langkah pencegahan penyakit semasa banjir boleh dirujuk melalui laman sesawang rasmi dan media sosial KKM.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan