GEORGE TOWN, 23 Nov (Bernama) -- Kerja-kerja pengorekan jalan susulan kejadian lubang benam di Jalan Kenari Sungai Ara di sini pada 4 Nov lepas telah siap dilaksanakan oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari memaklumkan kerja pengorekan mencapai kedalaman lapan meter sehingga 10.30 pagi tadi.
“Fokus kerja kini akan beralih kepada pembaikan paip kumbahan itu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut memohon pengguna jalan raya dan penduduk setempat supaya bersabar dan berhati-hati sepanjang tempoh kerja dijalankan serta mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan.
Dalam kejadian pada 4.30 petang 4 Nov lepas, satu lubang benam bersaiz kira-kira lima meter panjang, 3.5 meter lebar dan 1.9 meter dalam terbentuk di kawasan berkenaan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.
-- BERNAMA
