DUNIA

PENGHAPUSAN BAHAN API FOSIL HARUS KEKAL MENJADI KEUTAMAAN CAPAI MATLAMAT - KETUA PBB

23/11/2025 07:24 PM

NEW YORK, 23 Nov (Bernama-dpa) --  Komitmen yang dicapai pada rundingan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini yang gagal menghasilkan pelan mengikat untuk menghentikan secara berperingkat penggunaan bahan api fosil yang menyebabkan pemanasan bumi menerima reaksi berhati-hati daripada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

“Saya tidak boleh berpura-pura yang COP30 menghasilkan segala yang diperlukan,” kata Guterres dalam satu kenyataan selepas persidangan di Brazil berakhir pada Sabtu, lapor agensi berita Jerman dpa.

Sekalipun Ketua PBB itu memuji hampir 200 negara yang diwakili pada persidangan iklim tahunan itu kerana mencapai konsensus “dalam tempoh perpecahan geopolitik,” beliau berkata perjanjian yang dicapai masih jauh daripada mencukupi untuk menghalang pemanasan global selanjutnya dan sekali gus mengelakkan titik perubahan yang tidak boleh dipulihkan.

Guterres mengakui yang semua negara “membuat kemajuan,” termasuk ikrar untuk meningkatkan dengan ketara bantuan iklim kepada negara miskin bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan kesan pemanasan global, dengan matlamat menggandakan tiga kali ganda dana menjelang 2035.

Namun, beliau menegaskan bahawa usaha mengehadkan pemanasan global kepada di bawah 1.5 darjah Celsius berbanding tahap praindustri - matlamat yang ditetapkan dalam Perjanjian Iklim Paris 2015 - “mesti kekal sebagai garis merah kemanusiaan.”

“Itu memerlukan pengurangan pelepasan yang mendalam dan pantas, dengan pelan yang jelas dan boleh dipercayai untuk beralih daripada bahan api fosil kepada tenaga bersih.”

Negara Eropah sebelum ini mendesak pelan yang lebih konkrit di Brazil untuk beralih daripada penggunaan bahan api fosil, berasaskan komitmen yang dibuat pada persidangan iklim tahun lalu di Dubai. 

Namun, butiran masa dan pelaksanaan tidak diperincikan pada COP30, dengan semua negara hanya menyokong inisiatif sukarela untuk mempercepatkan usaha negara masing-masing.

-- BERNAMA-dpa

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan