KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Keberanian seorang remaja berusia 14 tahun Mohamad Amirul Asyraf Khairul Azahar, yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan dua bapa saudara orang kurang upaya (OKU) dalam kebakaran di Felda Kerteh 2, Terengganu, April lepas, mendapat pengiktirafan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Pingat Hang Tuah 2025.
Anugerah utama sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak 2025 itu melayakkan Mohamad Amirul Asyraf membawa pulang wang tunai RM5,000 serta unit amanah Amanah Saham Nasional Bumiputera (ASNB) bernilai RM3,000, yang disampaikan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Anak sulung daripada empat beradik itu ketika ditemui media berkata dia tidak menyangka tindakannya dalam menyelamatkan dua ahli keluarganya itu dianggap cukup luar biasa, sehingga menerima anugerah tertinggi itu.
“Perasaan saya terharu sebab dalam banyak-banyak kanak-kanak, saya dipilih jadi penerima anugerah tertinggi ini.
“Harapan saya, anugerah ini dapat memberi inspirasi kepada kanak-kanak di luar sana untuk berani berdepan dengan segala cabaran yang dihadapi dalam hidup,” katanya yang bercita-cita menjadi anggota bomba.
Ketika diminta mengimbas kembali tragedi itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Rasau, Ketengah Jaya, Terengganu ini berkata dia mula terjaga daripada tidur di ruang tamu rumah neneknya, selepas terasa bahang panas sebelum menyedari api marak dari bilik tidur bapa saudaranya yang dikenali sebagai Pak Long.
“Insiden itu sekitar 10 pagi. Tanpa berlengah, saya bergegas ke bilik berkenaan dan melihat Pak Long yang merupakan OKU pembelajaran hanya termenung memandang api semakin marak. Saya segera menjerit memanggil bapa saudara dan mengarahkannya ke dapur untuk keluar melalui pintu belakang.
“Pada masa sama, Pak Ngah yang juga OKU pembelajaran sedang leka bermain “Lego” tanpa menyedari api mula marak dan saya terus menjerit memanggilnya sebelum menarik tangannya untuk keluar,” katanya.
Mohamad Amirul Asyraf mengakui ketika itu dia tidak memikirkan keselamatan dirinya, sebaliknya hanya fokus untuk menyelamatkan dua bapa saudaranya itu.
“Api marak dengan cepat dan rumah nenek habis terbakar. Saya bersyukur kerana biarpun rumah hangus terbakar, kami semua dapat selamat daripada insiden itu,” katanya.
Sementara itu, bapanya Khairul Azhar Ismail, 38, berkata dia bangga dengan tindakan pantas anaknya yang berjaya menyelamatkan dua nyawa ahli keluarga mereka.
“Ketika kejadian, saya berada di luar kawasan. Dialah (Mohamad Amirul Asyraf) yang ambil peranan jaga keluarga. Kalau dia tak ada, mungkin lain jadinya.
“Sebagai bapa saya harap keberanian anak menyelamatkan keluarga dan pengiktirafan diterima menjadi contoh kepada kanak-kanak lain untuk berani membantu orang ketika kecemasan,” katanya sambil menambah anaknya seorang pendiam, tetapi bertanggungjawab selain aktif dengan sukan pertahanan diri.
Selain Anugerah Pingat Hang Tuah, sambutan hari kanak-kanak tahun ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Kanak-Kanak, Anugerah Gemilang Akademik, Anugerah Gemilang Kebudayaan dan Kesenian, Anugerah Gemilang OKU, Anugerah Gemilang Sukan dan Anugerah Khas NGO Kanak-Kanak.
Bertemakan “Hari Ini, Suaraku”, sambutan ini melambangkan hasrat bersama untuk memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia didengari suaranya, dihargai potensinya dan dilindungi haknya selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.
-- BERNAMA
