SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mengenal pasti tiga kawasan perumahan usang berusia lebih 30 tahun untuk dibangunkan semula sejak 2015, namun cadangan itu gagal diteruskan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata usaha membangunkan semula kediaman lama di bawah inisiatif Pembaharuan Semula Bandar (URA) berdepan cabaran besar, khususnya berkaitan persetujuan penduduk dan kos pelaksanaan yang tinggi.
Beliau berkata tiga lokasi yang dikenal pasti ialah Pangsapuri PKNS di AU3 Ulu Kelang, Pangsapuri PKNS Seksyen 17, Petaling Jaya, dan Pangsapuri PKNS Seksyen 16, Shah Alam.
“Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak dapat diteruskan kerana penduduk gagal mencapai persetujuan lebih 80 peratus, seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) berhubung perancangan kerajaan negeri dalam membangunkan semula taman perumahan berusia lebih 30 tahun yang telah usang, dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri.
Amirudin berkata selain isu persetujuan, beberapa faktor lain turut menghalang projek URA, termasuk tuntutan pampasan tinggi serta kesukaran mencari tapak pemindahan sementara yang sesuai.
“Kita perlu sediakan lokasi pemindahan sementara sebelum rumah asal diruntuhkan. Tidak boleh arah penduduk keluar, robohkan bangunan, dan kemudian masukkan semula dua atau tiga tahun kemudian.
“Di AU3, tapaknya ada tetapi kepadatan tinggi kerana banyak blok perlu dibina. Di Seksyen 16 pula, jumlah blok terlalu banyak, jadi kita perlu cari tapak baharu sebelum memindahkan penduduk,” katanya.
Beliau berkata pemaju yang ingin terlibat perlu mempunyai kedudukan kewangan kukuh, kerana proses pembinaan semula menelan kos besar.
“Pemaju perlu bersedia membelanjakan antara RM100 juta hingga RM150 juta hanya untuk membina blok pemindahan sementara, dan tidak semua pemaju mampu menanggung kos tersebut,” katanya.
Amirudin berkata kerajaan negeri akan meneruskan penelitian menyeluruh terhadap model URA bagi memastikan projek pembaharuan dapat dijayakan tanpa membebankan penduduk atau pihak pemaju.
“Jika URA tidak dilaksanakan, kediaman lama ini akan terus usang, ditinggalkan, dan tidak selamat diduduki, dan ini merupakan cabaran besar bagi kita,” katanya.
-- BERNAMA
