SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) -- Agrobank kekal memainkan peranan dalam memperkasakan usahawan tempatan menerusi Program Agrobank Upward Migration (AUM) khususnya perniagaan kecil, mikro dan sederhana yang terlibat dalam sektor keterjaminan makanan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata inisiatif yang dikendalikan olhe Pusat Kecemerlangan Agrobank sejak 2021 itu bertujuan membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan.
Beliau berkata AUM, yang berlangsung dari Disember 2023 hingga Januari 2025 dan membabit penyertaan 73 syarikat daripada lima gabungan negeri, menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
“Daripada 73 syarikat yang menamatkan Program AUM merentasi lima gabungan negeri, sebanyak 57 syarikat telah merekodkan peningkatan jualan dengan 34 syarikat mencatatkan peningkatan melebihi 20 peratus.
“Selain itu, 15 syarikat turut berjaya memperoleh pembiayaan tambahan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM9,221,000,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Aspirasi Kecemerlangan AUM di sini semalam.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata program berstruktur selama 12 bulan itu merangkumi sesi latihan kelas secara fizikal dan dalam talian serta sesi bimbingan di premis usahawan membabitkan modul seperti Seni Urus Kewangan, Pemasaran Digital, Penetapan Sasaran Syarikat dan Pengurusan Bisnes Gaya Korporat.
Beliau berkata program itu turut menawarkan sesi bimbingan secara one-to-one serta mampu memudahkan para usahawan untuk menerima panduan mengikut keperluan perniagaan masing-masing sekali gus membantu membina perniagaan yang mampan dan kalis masa hadapan.
“Modul pembelajaran ini membuka peluang kepada usahawan kecil, sederhana dan mikro yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Dalam dunia perniagaan yang kompetitif, mereka dapat mengaplikasikan kemahiran dan ilmu yang diperoleh untuk menjadi usahawan berdaya saing serta memastikan kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan yang berterusan,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Agrobank meraikan 10 syarikat yang berjaya menonjolkan pencapaian cemerlang dalam kategori Peningkatan Jualan, Pengembangan Perniagaan, Penciptaan Pekerjaan, Penambahan Kapasiti (Teknologi) dan Penambahan Kapasiti (Pembiayaan).
Penerima anugerah Penambahan Kapasiti (Teknologi) Alif Dzulfarhan Mohamad Shaharudin berkata kilang ternakan makanan ruminan yang diwarisi daripada bapanya kini menyaksikan peningkatan sebanyak 60 peratus dengan keuntungan minimum diraih setiap bulan iaitu kira-kira RM100,000.
Bagi Alif Dzulfarhan, antara modul paling penting ialah pemasaran dan pengurusan akaun yang amat membantu beliau menguruskan perniagaan yang diusahakan di Batu Kikir, Negeri Sembilan.
“Bagi saya, AUM ini banyak membantu dari segi penyusunan kewangan, pemasaran dan cara nak buat market dan bagi saya, coaching penyusunan kewangan itu yang penting untuk kita susun cashflow harian supaya perniagaan berjalan dengan lancar,” katanya yang turut mensasarkan pendapatan sebanyak RM1 juta sebulan bermula tahun hadapan.
Penerima anugerah Peningkatan Jualan Mohd Shafie Md Isa pula berkata program itu membantu beliau untuk melihat perniagaannya dengan lebih luas berbanding sekadar menjadi penjual telur itik dan telur masin kepada pembekal makanan ternakan sekali gus membantunya menjana pendapatan lebih optimum.
“Sebelum ini, saya tak tahu pun kami untung atau rugi... boleh kata buat secara semberono dan syok sendiri, yang tahu ada untung.
“... bila masuk group coaching Agrobank ini memang sangat membantu kita untuk tahu keuntungan dan kerugian... dan kita boleh atur untuk buat penambahbaikan yang sewajarnya,” kata beliau.
-- BERNAMA
