KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Seorang wanita warga emas yang juga ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengemukakan representasi kali kedua kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengkaji semula pertuduhan memiliki 38 hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam terhadapnya tahun lepas.
Peguam Boestamam Ahmad, yang mewakili Aishah Bula Tajudin, 61, memaklumkan Majistret Farah Nabihah Mohammad Dan bahawa pihaknya telah mengemukakan representasi itu serta memohon agar tarikh perbicaraan hari ini dan esok dilapangkan.
"Pihak kami telah memasukkan sekali lagi representasi kepada AGC untuk mengkaji semula pertuduhan dalam kes ini... oleh itu, kami memohon penangguhan (perbicaraan) pada tarikh-tarikh berkenaan bagi membolehkan AGC mengkaji semula pertuduhan yang dihadapi tertuduh," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa pula berkata pihaknya tidak membantah permohonan itu.
"Representasi berkenaan masih lagi dalam pertimbangan dan kajian... oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya tarikh sebutan kes ditetapkan untuk memaklumkan keputusan representasi tersebut," katanya.
Farah Nabihah kemudian menetapkan 22 Jan 2026 untuk keputusan representasi kedua berkenaan manakala 2 dan 3 April 2026 ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan.
Selepas prosiding itu, Boestamam memaklumkan pemberita bahawa representasi kedua telah dikemukakan pada 20 Nov lepas apabila representasi pertama ditolak tahun lepas.
Aishah didakwa memiliki 38 hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam antaranya Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi, Khutbah Aidilfitri 1413 Hijrah, Siri Terkini Era Kasih Sayang “Abuya Pemimpin Kasih Sayang” dan Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya, tanpa sebab yang munasabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sungai Penchala, Brickfields di sini pada 11.30 pagi 21 Sept 2024 mengikut Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
