KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Semua Ahli Parlimen digalakkan untuk mengenakan pakaian atau aksesori berwarna oren semasa persidangan Dewan Rakyat esok sebagai tanda solidariti sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran global mengenai keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, selain menyeru tindakan kolektif bagi menghapuskannya.
“Ini juga sebagai tanda solidariti Parlimen Malaysia terhadap usaha untuk menangani keganasan terhadap wanita, jadi esok pakai oren ya,” katanya sebelum sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.
Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Antarabangsa disambut pada 25 Nov setiap tahun.
-- BERNAMA
