Daripada M. Saraswathi
NAIROBI, 24 Nov (Bernama) -- Perniagaan Kenya akan menerima layanan istimewa dari Malaysia atas dasar persahabatan dan potensi besar yang wujud antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Bercakap pada Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-Kenya di sini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan kekal sebagai pemudah cara utama untuk perdagangan dan pelaburan berkembang, namun perniagaan perlu memainkan peranan utama.
"Syarikat dari Kenya perlu menjadi peneraju. Ada bidang yang anda cemerlang yang perlu kami manfaatkan dan pelajari. Ada juga bidang yang kami mempunyai kelebihan dan kami berkongsi dengan anda, dan ini sewajarnya menjadi pengaturan baharu," kata beliau.
Perdana Menteri berkata perdagangan, pelaburan dan pengetahuan yang dikembangkan seperti ini adalah penting untuk memastikan kejayaan sesebuah ekonomi.
"(Kita) tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada keupayaan ekonomi mengikut tradisi kita. Kita juga tidak boleh bergantung kepada akses pasaran mengikut tradisi kita," kata Anwar.
Turut hadir semasa forum itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Setiausaha Utama Promosi Pelaburan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Kenya Abubakar Hassan Abubakar.
Pada 2024, Kenya merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika, dengan jumlah perdagangan mencecah RM5.7 bilion, peningkatan sebanyak 1.2 peratus daripada RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.
Perdana Menteri berkata Malaysia berpegang teguh kepada sistem multilateral berasaskan peraturan dan giat menyertai rangka kerja perdagangan bertaraf tinggi dan pada sama terus memperluas rangkaian perjanjian perdagangannya.
“Platform ini menawarkan kelebihan penting, akses pasaran yang lebih besar, peraturan perdagangan yang boleh dijangka dan situasi pelaburan berdaya saing yang boleh dimanfaatkan melalui pengukuhan kerjasama ekonomi Malaysia-Kenya,” kata Anwar.
Menurut beliau fokus Malaysia terhadap pembangunan mampan, integrasi serantau dan kemajuan yang inklusif adalah sejajar dengan Agenda Transformasi Kesatuan Afrika 2063.
Anwar berkata Kenya sebagai suara utama di rantau ini dan penyokong teguh pembangunan utama Afrika, memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi bersama ini.
Kejayaan syarikat Malaysia yang telah beroperasi di Kenya memperlihatkan keyakinan perniagaan Malaysia terhadap trajektori pertumbuhan dan persekitaran pelaburan di Kenya, kata beliau.
“Kami mengalu-alukan syarikat, pelabur dan inovator Kenya untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi meneroka peluang bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh ASEAN dan rantau Asia-Pasifik yang lebih luas.
“Biar Malaysia menjadi jambatan yang menghubungkan potensi besar Afrika dengan landskap ekonomi Asia yang berkembang pesat,” kata Anwar.
-- BERNAMA
