POLITIK

JAUH BUKAN ALASAN ANAK SABAH DI JOHOR TIDAK PULANG MENGUNDI

24/11/2025 10:13 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 24 Nov (Bernama) -- Walaupun jauh beribu batu, anak perantau Sabah yang bekerja di Johor tetap tekad untuk pulang ke tanah kelahiran bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Bagi mereka, jarak yang jauh serta kos perjalanan tinggi berikutan tiket penerbangan dianggarkan mencecah lebih RM1,000 untuk pergi dan balik, tidak menjadi penghalang untuk melaksanakan peranan sebagai pengundi.

Penjawat awam, Jenno Jamil, 35, memberitahu Bernama beliau telah memohon cuti panjang demi menunaikan tanggungjawab dan percaya undinya mampu menyumbang kepada kemajuan negeri yang disayangi. 

"Saya pulang kerana rasa bertanggungjawab untuk mengundi, walaupun merantau jauh dari Sabah, itu tidak menjadi masalah," katanya yang akan bertolak pulang ke Sandakan, Rabu ini.

Beliau yang mengundi di Sungai Sibuga berkata PRN kali ini amat penting kerana ia turut berperanan dalam menentukan hala tuju negeri.

"Walaupun berada di luar Sabah, saya tetap mahu melihat perubahan. Undi saya adalah satu cara untuk menyuarakan harapan itu,” katanya.

Ketika ditanya faktor yang dinilai dalam memilih calon, Jenno berkata beliau akan melihat manifesto atau tawaran setiap parti secara teliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Bagaimanapun, beliau berharap calon yang terpilih di kawasannya memberikan fokus kepada infrastrukur yang tersusun dan terancang terutama melibatkan isu bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan dan jalan raya.

Sementara itu, Ketua Biro Bernama Johor Hasnah Jusid, 33, teruja untuk pulang ke kampung halamannya di Kota Marudu esok, memandangkan ini merupakan kali pertama beliau akan mengundi secara fizikal di pusat mengundi.

Beliau yang selama ini hanya berpeluang mengundi pos kerana kekangan kerja, mahu merasai sendiri pengalaman mengundi di lokasi sebenar, selain berpendapat tanggungjawab itu merupakan proses demokrasi yang penting dalam membawa suara rakyat serta kemajuan di sesuatu kawasan.

"Saya teruja untuk keluar mengundi bersama ahli keluarga, selepas itu mengabadikan kenangan dengan berswafoto tunjuk dakwat di jari sebagai tanda kami selesai laksana tanggungjawab," katanya yang mengundi di Bandau. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Johor Hendrick Utoi berkata dianggarkan terdapat lebih 30,000 rakyat Sabah di Johor yang berdaftar di bawah persatuan itu, namun tidak mempunyai maklumat atau peratusan bagi yang pulang mengundi.

“Saya ingin menasihati rakyat Sabah di perantauan supaya membeli tiket lebih awal untuk mengelakkan daripada membayar kos lebih mahal jika tiket penerbangan dibeli saat akhir," katanya yang turut pulang mengundi bagi DUN Inanam.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov ini manakala pengundian awal berlangsung esok.

Untuk berita terkini PRN Sabah, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan