AM

IGAUAN BANJIR BURUK 2021 BERULANG DI TAMAN SAUJANA AMAN

24/11/2025 11:00 PM

‎SUNGAI BULOH, 24 Nov (Bernama) -- Igauan 2021 berulang kembali. Itulah reaksi penduduk Taman Saujana Aman di sini selepas kawasan perumahan itu ditenggelami air selepas hujan lebat berterusan di Selangor. 

‎Pekerja swasta Norjulia Mohmad Sukor, 44, berkata sebelum kejadian dia dan suami keluar rumah pada tujuh pagi untuk ke tempat kerja namun ketika dalam perjalanan dia berasa tidak sedap hati dan meminta suaminya berpatah balik.

Sampai di rumah, pembuat kuih sambilan itu mendapati air sungai mula melimpah memasuki rumah secara perlahan-lahan iaitu sekitar 9 pagi.

‎"Air mula masuk di bahagian dapur dan dalam pukul 11 memang dah naik sehingga ke ruang tamu, tapi sebelum itu saya sempat juga kemas lipat karpet dan selamatkan barang-barang membuat kuih terlebih dahulu. 

‎"Banjir kali ini boleh kata hampir sama macam tahun 2021 dulu, cuma kali ini lebih bersedia...dah alih siap-siap kereta sebab dulu kereta habis tenggelam cuma kali ni dua motosikal milik anak saya tak sempat nak alih," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman di sini hari ini. 

‎Seorang lagi penduduk Muhammad Fathi Mohamed Yudin, 32, menganggarkan kerugian dialaminya melebihi RM10,000 apabila hanya sempat menyelamatkan barang-barang kecil seperti televisyen manakala barang elektronik lain seperti mesin basuh dan peti sejuk ditenggelami air. 

‎"Sebelum ni naik juga tapi hanya paras buku lali sahaja, ini memang kedua teruk sebab masa saya keluar dari rumah tengah hari tadi dah paras pinggang," katanya yang mula menetap di kawasan itu pada 2020.

‎Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya M. Kirushnan ketika ditemui berkata setakat awal malam tadi air mulai surut namun pihaknya masih berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan. 

‎Beliau turut menasihati orang awam yang terkesan untuk mengikut arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa khususnya daripada pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. 

‎Menurut laman web infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS di Desa Aman mencatatkan pendaftaran mangsa tertinggi di Selangor iaitu seramai 863 individu daripada 205 keluarga setakat malam ini.

‎-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan