KUCHING, 24 Nov (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bangunan (Pindaan) 2025 bagi memperkenalkan penubuhan sebuah lembaga akreditasi untuk memastikan rangka kerja pengawalseliaan selaras perkembangan semasa dan trend terkini dalam industri pembinaan.
Sebanyak 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam perbahasan, termasuk seorang wakil pembangkang negeri daripada DAP yang menyatakan sokongan terhadap RUU berkenaan.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang membentangkan RUU itu berkata ciri utama undang-undang berkenaan termasuk penubuhan Lembaga Bangunan Sarawak dan Dana Lembaga Bangunan Sarawak.
“Fungsi lembaga berkenaan termasuk mengawal selia, memantau dan menyelaras amalan pembinaan di Sarawak, mempromosikan keseragaman dalam kalangan pihak berkuasa tempatan serta memastikan amalan dan piawaian teknikal tempatan memenuhi keperluan peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak.
Beliau berkata dana berkenaan akan menyokong penyelidikan, latihan, inisiatif pendigitalan dan infrastruktur teknikal bagi memperkukuh penguatkuasaan dan pematuhan, serta boleh membiayai program peningkatan kapasiti bagi pihak berkuasa tempatan, pensijilan profesional dan pembangunan bangunan hijau.
Dr Sim berkata seiring dengan hala tuju negeri ke arah masa depan yang lebih hijau dan berdaya tahan, undang-undang serta rangka kerja kawal selia mesti berkembang selaras dengan standard kemampanan yang berubah dengan cepat dan amalan pembinaan moden.
Beliau berkata Ordinan Bangunan 1994 [Cap. 8] kali terakhir dipinda pada 2004, dan pengemaskiniannya menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan Sarawak kekal moden, selamat serta selaras dengan matlamat kemampanan.
“RUU ini bertujuan memastikan kerangka kawal selia selaras dengan trend semasa dalam industri pembinaan. Menyedari keperluan untuk pencegahan yang lebih berkesan dan pematuhan yang lebih baik, RUU ini juga berhasrat mengemas kini peruntukan hukuman bagi memastikan ia mencerminkan keseriusan kesalahan di bawah Ordinan berkenaan,” katanya.
Pindaan itu juga membolehkan pelantikan seorang Pendaftar dan Penolong Pendaftar Bangunan Hijau yang akan bertanggungjawab menyelenggara rekod, meluluskan pensijilan dan memantau pematuhan bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab untuk pensijilan bangunan hijau.
Selain itu, beliau berkata RUU itu memperkukuh peraturan bagi profesional yang terlibat dalam kerja pembinaan dengan mewajibkan pendaftaran, pengawalseliaan dan pengawasan tatatertib terhadap arkitek, jurutera dan kakitangan bertauliah lain yang bertanggungjawab dalam reka bentuk bangunan serta penyeliaan pembinaan.
“Dengan mewujudkan sistem pensijilan, pendaftaran dan rangka kerja profesional yang jelas, RUU ini meletakkan Sarawak pada kedudukan untuk mempercepatkan penerimaan bangunan hijau serta memperkukuh peralihan ke arah persekitaran pembinaan yang mampan,” katanya.
Terdahulu, ADUN Padungan yang juga Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata RUU itu lebih daripada sekadar kemas kini teknikal.
“Pindaan ini merupakan langkah strategik untuk memodenkan piawaian bangunan kita, memperkukuh penguatkuasaan serta menyelaras pembangunan Sarawak dengan amalan pembinaan yang mampan dan bertanggungjawab,” katanya.
-- BERNAMA
