AM

SEWA TANAH TIDAK DIDOKUMEN JEJAS TINDAKAN TERHADAP WARGA ASING USAHAKAN SAWAH PADI

25/11/2025 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Tindakan penguatkuasaan berhubung kebanjiran warga asing yang mengusahakan sawah padi sukar dilaksanakan memandangkan penyewaan tanah kepada mereka tidak direkodkan secara rasmi, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata masalah itu berpunca daripada keputusan pemilik tanah sendiri yang mengupah atau membenarkan warga asing menjalankan kerja pertanian termasuk semaian, meracun, membajak dan mengusahakan tanaman kontan.

Beliau berkata kelemahan dokumentasi itu menyebabkan agensi berkaitan tidak dapat mengesahkan status penyewaan atau membuktikan pelanggaran syarat penggunaan tanah.

“Kebanjiran warga asing dalam isu ini memerlukan penyelesaian tadbir urus yang teliti dan melibatkan kerjasama rentas kementerian,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Kapt (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) yang ingin tahu langkah kementerian bagi menangani hasil pengeluaran padi yang rendah mendorong kepada kebanjiran warga asing yang menyewa dan mengusahakan sendiri sawah atau tanaman kontan di beberapa lokasi.

Dalam pada itu, Mohamad berkata kerajaan sedang pada peringkat libat urus bagi menilai keperluan meminda Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004 serta pertimbangan menyertai Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 1991 (UPOV 1991).

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak akan memuktamadkan sebarang langkah sebelum mencapai persetujuan meluas termasuk daripada pesawah yang bimbang terhadap kesan dasar baharu berhubung amalan menyimpan dan berkongsi benih.

“Sekarang pada peringkat libat urus dibuat untuk kita melaksanakan ke arah akta ini … libat urus ini cukup penting untuk kita dapat kesepakatan dan kalau kita laksanakan ia mesti menguntungkan para petani,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai pendirian kerajaan terhadap UPOV 1991 susulan kebimbangan yang dinyatakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pesawah, terutamanya di Kedah, yang dikatakan masih mengamalkan penyimpanan dan penggunaan semula benih padi setiap musim.

Mohamad berkata ketika ini kerajaan masih meneliti isu-isu yang dibangkitkan kerana kualiti benih tidak seragam jika dibekalkan secara individu, sebaliknya hasil tinggi akan dicapai melalui benih keluaran institusi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Kalau benih kita biarkan secara individu yang menyediakannya, ia kadang kala meningkatkan hasil, kadang kala tidak. MARDI misalnya ternyata ia membawa hasil yang agak tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan