JITRA, 25 Nov (Bernama) -- Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra terpaksa dipindahkan ke sekolah lain susulan air banjir mula naik di kawasan sekolah itu semasa peperiksaan sedang berlangsung pagi tadi.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah Abdul Rahim Mat berkata air mula naik ketika peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 dan tindakan segera diambil untuk memindahkan 17 calon yang menduduki PSV Kertas 1 ke SMK Tanjung Pauh dekat sini.
"Sekolah ini tidak banjir pada awalnya tetapi semasa peperiksaan sedang berlangsung, air mula naik.
"Kita bimbang paras air akan meningkat lagi sebab itu pelajar-pelajar ini dipindahkan bagi memastikan peperiksaan mereka berjalan dengan lancar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pihaknya terus memantau keadaan semasa di sekolah itu dan jika keadaan bertambah teruk, pelajar terbabit akan ditempatkan di sekolah alternatif berdekatan.
Tinjauan Bernama di SMK Jitra mendapati para pelajar dipindahkan ke sekolah alternatif dengan bantuan beberapa trak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang pasu.
Selain itu, para waris dan ibu bapa pelajar turut membantu memindahkan pelajar terbabit ke SMK Bandar Baru Darulaman bagi menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 2 petang ini.
Sementara itu, JPN Kedah dalam kenyataan memaklumkan terdapat 163 calon SPM di SMK Jitra termasuk calon persendirian.
Menurut kenyataan itu, SMK Bandar Baru Darulaman telah disediakan lebih awal sebagai pusat peperiksaan alternatif dan proses pemindahan pelajar berjalan lancar tanpa sebarang insiden keselamatan.
"JPN Kedah menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, pasukan keselamatan dan semua pihak yang membantu memastikan perjalanan peperiksaan SPM dapat diteruskan tanpa gangguan demi kepentingan calon," katanya.
-- BERNAMA
