AM

SBC, DVS BEKERJASAMA BANGUNKAN PRODUK ANTELMINTIK SEMULA JADI

25/11/2025 03:57 PM

KUCHING, 25 Nov (Bernama) -- Majlis Biodiversiti Sarawak (SBC) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak hari ini menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pembangunan Kolaboratif Produk Antelmintik (ubat cacing) Semula Jadi untuk Ternakan. 

SBC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertukaran MoU itu dilaksanakan antara Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi SBC Datuk Adana Jed dan Pengarah DVS Datuk Dr Adrian Susin Ambud.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

"Kerjasama itu bertujuan untuk memajukan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan masa depan produk antelmintik semula jadi yang diperoleh daripada Sipudun (Picria fel-terrae) untuk kegunaan ruminan kecil yang terjejas oleh jangkitan parasit,” menurut kenyataan itu.

Menerusi Program Dokumentasi Pengetahuan Tradisional, SBC telah merekodkan penggunaan tanaman liar sipudun oleh masyarakat Bidayuh untuk merawat tekanan darah tinggi dan nyahcacing (deworming).

"Penyelidikan awal oleh SBC mengesahkan keberkesanan tanaman itu sebagai agen nyahcacing dalam ternakan. SBC telah bekerjasama dengan komuniti berkenaan untuk membekalkan tanaman tersebut dan memastikan perkongsian manfaat," menurut SBC.

Menurut kenyataan itu, di bawah kerjasama berkenaan, SBC akan menjalankan penyelidikan makmal selanjutnya dan aktiviti pembangunan produk, termasuk biocerakin, pengoptimuman formulasi, kajian kestabilan dan persediaan untuk keperluan kawal selia.

DVS pula akan menjalankan aplikasi lapangan melalui ujian haiwan terkawal, penilaian veterinar dan penilaian prestasi di tapak.

Inisiatif itu menyumbang kepada matlamat jangka panjang Sarawak untuk mengukuhkan daya tahan ternakan, meningkatkan keselamatan makanan dan mengembangkan inovasi berasaskan biodiversiti.

“Ia selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Dasar Pertanian Makanan Negara dan usaha Malaysia yang lebih meluas untuk menggalakkan kemampanan, kemajuan saintifik dan mengurangkan pergantungan kepada antelmintik sintetik yang diimport,” menurut kenyataan itu.

Projek itu juga menawarkan peluang untuk penyertaan masyarakat peribumi pada masa hadapan melalui penanaman berstruktur dan rangkaian bekalan bahan mentah.

“SBC dan DVS juga akan bekerjasama untuk mengesahkan prestasi produk dalam ladang sebenar, memastikan inisiatif itu akhirnya boleh memberi manfaat kepada penternak, komuniti tempatan dan sektor agrimakanan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan