AM

SPR TERIMA 472 LAPORAN KESALAHAN KECIL KEMPEN PRN SABAH

25/11/2025 04:35 PM

TAWAU, 25 Nov (Bernama) – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 472 laporan berkaitan kesalahan-kesalahan kecil semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 setakat semalam.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun, berkata kesalahan yang dilaporkan oleh pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya itu membabitkan bahan-bahan kempen termasuk ceramah tanpa permit.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada kita dan tindakan susulan akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pengundian Awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di sini, hari ini.

Ramlan turut berharap tiada lagi pengundi mengambil gambar kertas undi semasa berada di dewan mengundi dan memuat naik imej berkenaan di media sosial.

“Kita harap tiada lagi kes seumpama itu. Langkah telah diambil, termasuk menyediakan tempat  untuk pengundi meletakkan telefon sementara ketika masuk dewan mengundi.

“Pegawai bertugas akan memantau dan memastikan tiada pengundi mengambil gambar ketika memangkah undi,” tambahnya.

Selain itu, Ramlan berkata SPR bersedia sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir pada hari pengundian 29 Nov ini.

“Kita akan pastikan proses pengundian berjalan lancar dengan mengambil prosedur operasi standard termasuk merujuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk panduan dan bantuan,” katanya.

Sabtu ini merupakan hari pengundian PRN Sabah ke-17, dengan seramai 1.76 juta pengundi biasa layak mengundi.

Untuk berita terkini PRN Sabah, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata pihaknya telah menahan empat lelaki dan membuka lima kertas siasatan berikutan tujuh laporan diterima di daerah itu berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 setakat semalam.

Beliau berkata penahanan keempat-empat lelaki itu membabitkan kes khianat terhadap bendera parti yang bertanding serta mengeluarkan kenyataan fitnah di media sosial.

“Individu-individu yang ditahan terbabit dalam kes semasa proses berkempen baru-baru ini,” katanya kepada pemberita di lokasi sama.

Selain itu, Jasmin berkata tiga daripada lima kertas siasatan yang dibuka membabitkan kes di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, manakala masing-masing satu kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menasihatkan pengundi agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku semasa proses mengundi.

Mengenai undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Jasmin berkata seramai 596 daripada 750 pegawai serta anggota polis telah menunaikan tanggungjawab mengundi setakat pukul 2 petang ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan