KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Program Siswa Sulung yang menerima pembiayaan kira-kira RM27 juta sejak 2022 telah membuka peluang kepada 7,003 pelajar generasi pertama keluarga B40 untuk melanjutkan pengajian di universiti awam (UA) setakat ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata program itu bukan sahaja mengurangkan jurang akses pendidikan, malah meringankan beban keluarga melalui pengecualian yuran UA yang membolehkan pelajar memulakan pengajian tanpa hutang pinjaman yang tinggi.
“Ia menyediakan peluang dan pembiayaan pendidikan kepada generasi pertama daripada keluarga B40 yang belum ada ahli keluarganya yang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi untuk menyambung pengajian mereka di UA.
“Program ini telah dilaksanakan secara rintis oleh KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) mulai sesi akademik 2022/2023 melibatkan 75 pelajar daripada lapan universiti awam perintis, bermula sesi akademik 2023/2024, Program Siswa Sulung telah diperluas kepada pelajar daripada semua bidang pengajian di 20 universiti awam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang bertanyakan pencapaian Program Siswa Sulung termasuk pecahan penerima mengikut jantina, kaum, negeri serta Institusi Pengajian Tinggi Awam, selain jumlah perbelanjaan tahunan sejak program itu dilaksanakan.
Sementara itu, dalam soalan berasingan, Mustapha berkata proses pemilihan UPU Online kini diperkukuh dengan ciri ketelusan baharu termasuk paparan statistik permohonan dua tahun, kalkulator merit dan ujian personaliti bagi membantu calon membuat pilihan lebih tepat dan mengurangkan rungutan pelajar cemerlang.
Beliau berkata penaiktarafan itu memastikan calon memahami syarat program dan tahap persaingan sebelum memohon, dengan sistem baharu hanya memaparkan program yang memenuhi kelayakan akademik selain menyediakan purata merit dua tahun lepas serta maklumat kebolehpasaran graduan sebagai rujukan.
Mustapha menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang ingin tahu sama ada sistem UPU Online sedia ada wajar dikaji semula bagi memastikan ketelusan termasuk pendedahan kriteria pemilihan pelajar serta langkah mengurangkan rungutan pelajar cemerlang yang gagal mendapat kursus pilihan.
Mengulas mengenai keperluan mekanisme semakan semula dan rayuan lebih telus bagi pemohon cemerlang yang gagal, beliau berkata sebahagian besar rungutan timbul kerana terlalu ramai pemohon hanya menyasarkan universiti ternama tanpa mengambil kira merit masing-masing.
“Semuanya ingin memohon di universiti yang terkenal sahaja, contoh Universiti Malaya, padahal ada universiti-universiti lain yang juga menawarkan kursus yang sama,” katanya sambil menasihatkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar meneliti panduan permohonan dengan lebih mendalam dan tidak sekadar mengisi 12 pilihan tanpa membuat semakan awal.
Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai penempatan pelajar mengikut negeri bagi mengurangkan beban ibu bapa, Mustapha berkata cadangan itu boleh membantu mengurangkan kos logistik keluarga, selagi program berkenaan ditawarkan di universiti terdekat.
Namun, beliau berkata penempatan pelajar di luar negeri asal turut memberikan nilai tambah dari segi interaksi sosial dan perpaduan kerana ia menggalakkan pelajar bergaul dengan rakan dari negeri berbeza demi membentuk generasi yang lebih harmoni.
-- BERNAMA
