AM

KERJASAMA NGO DAN KOMUNITI BANTU BENDUNG IKAN ASING, HASIL TANGKAPAN DIJADIKAN BAJA

25/11/2025 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kerjasama antara kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dapat membendung penyebaran spesies ikan asing perosak, termasuk memanfaatkan hasil tangkapan seperti ikan bandaraya bagi tujuan baja atau makanan ikan lain.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata inisiatif bersama itu dilaksanakan di sungai yang mencatat dominasi spesies perosak, termasuk Sungai Klang selain beberapa lokasi lain yang terjejas akibat kemasukan ikan asing.

“Pihak NGO telah berusaha bersama bantuan daripada kementerian dan menangkap ikan-ikan asing ini. Ada yang cuba membuat baja dan sebagainya. Walaupun kita tidak mengeluarkan lagi sijil khas, usaha-usaha mereka secara persendirian itu kalau ia boleh digunakan untuk makanan ikan yang lain atau buat baja, amat dialu-alukan.

“Tentang pemantauan secara penggunaan dron dan sebagainya akan diusahakan. Jadi kerajaan memandang serius usaha ini sebab ia (lambakan ikan asing) boleh mengurangkan aktiviti mereka yang mencari pendapatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang bertanyakan perancangan kerajaan untuk memperluas penggunaan teknologi pemantauan pintar seperti dron, sensor hidrologi dan pembentangan digital untuk mengesan taburan spesies ikan perosak secara lebih tepat.

Mohamad berkata dominasi ikan bandaraya di sungai terutama berhampiran kawasan bandar turut menjejaskan kelestarian biodiversiti dan aktiviti masyarakat yang bergantung kepada sumber sungai.

“Saya biasa menjala ikan di sungai dekat dengan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur). Saya campak (jala) beberapa kali, memanglah ikan bandaraya saja yang masuk. Ikan lain hampir sudah pupus,” katanya sambil menambah usaha kawalan dilaksanakan secara berterusan.

Menjawab soalan asal Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai keberkesanan langkah mengawal pembiakan ikan perosak, Mohamad berkata tindakan pembendungan berterusan telah menyumbang kepada peningkatan pendaratan perikanan darat negara.

Beliau berkata pada 2024, sektor perikanan darat negara mencatatkan pendaratan sebanyak 9,653 tan metrik bernilai RM191 juta berbanding 9,434 tan metrik pada 2023 sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 219 tan metrik atau 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah melaksanakan 31 siri program pemburuan sejak 2022 hingga berjaya mengeluarkan 8.8 tan metrik ikan asing dengan kerjasama NGO dan komuniti setempat.

“Dari aspek perundangan, jabatan bersama kerajaan negeri sedang mengemas kini Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) untuk memasukkan larangan pelepasan ikan asing yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000,” katanya.

Dalam soalan berasingan, Mohamad berkata bagi memelihara spesies laut terancam seperti dugong, kerajaan sedang menggubal peraturan perikanan di bawah Seksyen 45 Akta Perikanan 1985 (Akta 317) untuk memperincikan tata cara pengurusan kawalan aktiviti pelancongan dan zon larangan tertentu bagi mengelakkan konflik guna kawasan.

Beliau berkata pewartaan itu dijangka menambah keluasan kawasan perairan terlindung sebanyak 1,508 kilometer (km) persegi iaitu kira-kira 0.28 peratus daripada perairan negara dan sehingga kini, sebanyak tiga sesi libat urus telah diadakan pada 2023 hingga 2024 bersama komuniti nelayan.

“DOF telah melaksanakan pemantauan berkala dan rondaan Penguatkuasaan Bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Jabatan Laut Malaysia, mengawal aktiviti pelancongan serta pergerakan bot di kawasan habitat dugong.

“Selain itu, pelaksanaan memasang pelampung penanda kawasan habitat bagi memaklumkan zon sensitif kepada pengusaha pelancongan dan komuniti setempat, menjalankan program kesedaran awam dan latihan komuniti nelayan bersama pengusaha pelancongan tempatan bagi memupuk kefahaman mengenai kepentingan melindungi dugong,” katanya.

Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) yang ingin tahu langkah segera dan jangka panjang kerajaan dalam memelihara spesies laut terancam seperti dugong di perairan Mersing termasuk kawalan laluan bot pelancong, penguatkuasaan zon perlindungan marin serta kerjasama pengusaha pelancongan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan