AM

KERJASAMA SIASATAN , PENDAKWAAN TINGKAT KEJAYAAN OPERASI SPRM

25/11/2025 04:24 PM

 

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) – Strategi kerjasama rapat antara pegawai siasatan dan pendakwa raya dikenal pasti sebagai pendekatan utama keberkesanan tindakan terhadap kes rasuah rentas sempadan, termasuk usaha memulihkan aset di luar negara. 

 

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, gabungan kepakaran siasatan dan pendakwaan sejak peringkat awal sesuatu kes mampu meningkatkan keberhasilan pendakwaan dan memperkukuh proses pembekuan serta pemulihan aset.

 

“Dalam kes rasuah melibatkan aset rentas sempadan, penyiasat perlu bekerjasama rapat dengan pendakwa raya di mana segala bahan bukti mesti selaras dengan keperluan undang-undang untuk dibuktikan di mahkamah. 

 

“Pendekatan ini menjadikan permohonan undang-undang lebih kukuh dan meningkatkan kejayaan pemulihan aset,” katanya ketika berucap di bengkel Women Against Transnational Corruption Hub (WATCH) Workshop 2025 di sini semalam.

 

Bengkel yang bermula dari 24 hingga 28 November ini dianjurkan BOK SPRM menghimpunkan 16 pegawai wanita dari empat negara iaitu  Bangladesh, Sri Lanka, Indonesia dan Malaysia terdiri daripada pegawai siasatan dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) di bawah inisiatif International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) menerusi platform WATCH yang diwujudkan bagi membentuk kerjasama dan pertukaran pengetahuan dalam kalangan pegawai wanita agensi antirasuah di seluruh dunia.

 

Menurutnya, model kerjasama tersebut telah lama diamalkan di BOK SPRM apabila DPP ditempatkan secara terus dalam pasukan siasatan dan menjadi keperluan kritikal ketika memohon perintah Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance), menahan aset di luar negara atau mengemukakan permohonan pemulihan aset di bidang kuasa asing.

 

Sementara itu, Mohamad Zamri berkata peranan wanita dalam memimpin strategi penguatkuasaan serta pendakwaan terhadap kes rasuah berprofil tinggi dan jenayah kewangan rentas sempadan kini semakin penting.

 

“Ancaman rasuah moden kini semakin kompleks termasuk penggunaan aset kripto dan pengubahan wang melalui perkhidmatan kewangan sekali gus memerlukan jaringan kerjasama antarabangsa melalui platform seperti Egmont Group, IACCC dan saluran risikan dua hala,” katanya.

 

Turut hadir wakil IACCC terdiri daripada Trudi Abadi dari National Crime Agency (NCA), Manon Thomassin (Royal Canadian Mounted Police-RCMP) dan Rosalind Grant (Australian Federal Police-AFP).

— BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan