EKONOMI

PNB BAKAL LANCAR PENILAIAN ZAKAT DANA HARGA TETAP GUNA KAEDAH AL-MUSTAGHALLAT SECARA KHULTAH PADA 2026

25/11/2025 05:18 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan melancarkan penilaian zakat bagi Dana Harga Tetap yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) melalui kaedah zakat al-Mustaghallat secara Khultah pada pertengahan 2026.

Ini susulan pengumuman Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 4 Sept, 2025 yang memberikan persetujuan penilaian zakat bagi Dana Harga Tetap dibolehkan menggunakan kaedah al-Mustaghallat, iaitu pengiraaan zakat ke atas pengagihan pendapatan sahaja

Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Rick Ramli berkata PNB menyasarkan penglibatan lebih 30 peratus pemegang unit agama Islam bagi tahun pertama perlaksanaan kaedah itu dengan anggaran kutipan zakat mencecah RM60 juta.

"Selaras dengan ini, pihak ASNB bercadang untuk memperkenalkan mekanisme yang membolehkan pemegang unit memilih sama ada menerima pengagihan pendapatan penuh atau pendapatan bersih selepas zakat.

"Sebanyak 2.57 peratus daripada dividen bagi Dana Harga Tetap ASNB iaitu ASB, ASB 2, ASB 3 Didik, ASM, ASM 2 Wawasan dan ASM 3 akan ditolak dan disalurkan kepada Pusat Zakat Negeri untuk diagihkan kepada asnaf mengikut ketetapan pihak berkuasa zakat,” katanya pada sesi taklimat bersama media, di sini, hari ini.

Rick berkata kelebihan kaedah ini adalah ia dapat memastikan pembayaran zakat tidak mengurangkan modal pelaburan iaitu untuk menjana pendapatan daripada dana yang dilaburkan.

"Konsep ini juga lebih bersesuaian untuk pelaburan amanah tetap, kerana pulangan daripada unit amanah tetap hanya daripada dividen dan agihan pendapatan, dan tidak daripada hasil jual beli unit amanah tersebut.

"(Oleh itu) Walaupun pembayaran zakat melalui kaedah ini tidak mandatori tapi kami berharap seramai mungkin pemegang unit (akan dapat) ikut serta,” katanya.

Menurutnya, pembayaran secara Khultah juga lebih efisen dan sistematik kerana pemegang unit tidak perlu mengira dan membayar zakat secara individu.

Beliau berkata setakat ini kaedah tersebut telah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

"Perbincangan bersama negeri-negeri lain sedang dijalankan. Insya-Allah menjelang pelancaran kaedah ini pada pertengahan tahun hadapan kita akan mendapat persetujuan dari negeri-negeri yang lain,” katanya.

Al-Mustaghallat adalah pengiraan zakat ke atas hasil atau pendapatan daripada aset, bukan ke atas aset itu sendiri.

Pemegang unit Dana Harga Tetap ASNB boleh menerima pengagihan pendapatan bersih selepas zakat melalui pendekatan Khultah atau kolektif.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan