EKONOMI

MATRADE AKAN TERAJUI PAVILION MALAYSIA PADA VIETNAM EXPO 2025 DI HO CHI MINH

25/11/2025 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menerajui Pavilion Malaysia di Vietnam Expo 2025 ke-23 yang akan diadakan dari 4 hingga 6 Dis, 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen Saigon (SECC), Ho Chi Minh, Vietnam.

Agensi itu berkata edisi ekspo tahun ini akan menghimpunkan perniagaan global, usahawan, dan pemimpin industri.

"Ekspo berkenaan akan mempamerkan produk dan perkhidmatan inovatif yang memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kemudahan, pendigitalan serta kelestarian.

"Di bawah tema ‘Penyelesaian untuk Gaya Hidup Moden’, ekspo ini akan memberi tumpuan kepada empat sektor utama iaitu makanan dan kehidupan eko, elektronik, rumah dan taman serta alat selain peralatan untuk lakukan sendiri di rumah," kata agensi itu dalam satu kenyataan.

MATRADE berkata ini mencerminkan landskap pengguna Vietnam yang berkembang serta keinginan mereka terhadap penyelesaian pintar dan mesra alam.

Tahun ini, MATRADE bekerjasama dengan SME Bank di bawah Progrram Pembangunan Keusahawanan Halal (PPKH) iaitu inisiatif yang diterajui di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk membangunkan dan memperkasakan usahawan halal terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Di bawah kerjasama ini, 23 syarikat Malaysia akan mengambil bahagian di bawah Pavilion Malaysia yang akan mempersembahkan produk gaya hidup yang diperakui halal dan inovatif.

"Pameran ini mengetengahkan kekuatan Malaysia sebagai pusat yang dipercayai untuk barangan berkualiti tinggi, beretika dan lestari seperti makanan, kehidupan eko, rumah dan taman, jentera serta elektronik," kata agensi itu.

Sepanjang tiga hari pameran berkenaan, MATRADE akan mempermudahkan pertemuan perniagaan yang diatur terlebih dahulu di antara pengusaha Malaysia dengan pembeli, pengimport serta pengedar Vietnam yang berpotensi.

Sesi ini bertujuan menggalakkan hubungan perdagangan yang bermakna, memperkukuh rangkaian perniagaan dan membuka peluang eksport baharu bagi syarikat-syarikat dari Malaysia.

Vietnam kekal sebagai satu daripada rakan dagang utama Malaysia di ASEAN dengan jumlah perdagangan mencapai RM 83.12 bilion pada 2024.

Malaysia merupakan rakan dagang ke-13 terbesar Vietnam di peringkat global pada 2023 dan 2024 sekali gus mencerminkan pertumbuhan yang mantap serta menunjukkan daya tahan hubungan ekonomi dua hala.

Penyertaan MATRADE dalam Vietnam Expo 2025 akan memperkukuh lagi hubungan ini dengan mempromosikan kecemerlangan Malaysia selain menggalakkan kerjasama perniagaan yang lebih kukuh.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan