KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Ahli Parlimen Pendang dari Perikatan Nasional (PN) Datuk Awang Hashim dan Ahli Parlimen Hulu Langat dari Pakatan Harapan (PH) Mohd Sany Hamzan, diarah keluar daripada persidangan Dewan Rakyat hari ini kerana mencetuskan kekecohan akibat perang mulut sesama mereka.
Kekecohan berlaku ketika Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng mempengerusikan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat patang ini, sehingga mengganggu perbahasan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai).
Lau mengarahkan kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan keluar daripada persidangan selama 30 minit selepas mereka enggan berhenti bertekak.
“Saya arahkan Pendang dan Hulu Langat keluar dari Dewan selama 30 minit… jangan ajak bertumbuk dalam Dewan… jangan lagi (saling) menabur fitnah,” katanya yang turut mengarahkan Bentara Dewan Rakyat membawa keluar kedua-dua Ahli Parlimen itu.
Kekecohan tercetus apabila Mohd Sany mencelah perbahasan Suhaizan dengan mencadangkan supaya mana-mana Ahli Parlimen termasuk dari blok pembangkang mengikuti sesi kaunseling kerana tabiat menabur fitnah.
Susulan itu, Awang bangun menempelak Mohd Sany dan menyifatkan dakwaan wakil rakyat itu sebagai suatu fitnah, selain menyalahi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Kekecohan yang berlarutan hampir empat minit itu menyebabkan Suhaizan terpaksa menghentikan perbahasannya, sebelum Lau memutuskan untuk memberikan masa tambahan selama tiga minit kepada Ahli Parlimen Pulai itu bagi menyambung semula perbahasan.
-- BERNAMA
