Daripada M.Saraswathi
NAIROBI (Kenya), 25 Nov (Bernama) - Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tiga negara di Afrika mencerminkan komitmen Putrajaya untuk memperkukuh hubungan dengan Selatan Global serta meletakkan Malaysia secara strategik sebagai rakan dipercayai dalam dunia yang semakin multipolar.
Selama beberapa dekad, Afrika dilihat sebagai rantau yang sentiasa berdepan konflik dan cabaran pembangunan, yang kebanyakannya masih berterusan sehingga kini.
Namun benua itu juga menonjol dalam kalangan ekonomi yang mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan di dunia, disokong oleh populasi mudanya yang sedang berkembang pesat, diunjurkan mencecah 2.5 bilion menjelang 2050.
Menerusi pelbagai penglibatan sepanjang lawatan itu, Perdana Menteri yang turut mengetuai delegasi perniagaan menekankan bahawa walaupun terdapat cabaran dan tahap pertumbuhan ekonomi yang berbeza di negara-negara Afrika, namun peluang masih lagi melimpah.
Ini terbukti menerusi kejayaan dicapai oleh syarikat pengangkutan dan logistik Yinson Holdings Bhd yang memperoleh kontrak menyediakan kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) dalam sektor pengeluaran minyak dan gas di beberapa negara Afrika.
Ketua Pegawai Eksekutif Yinson, Lim Chern Yuan, memuji lawatan perniagaan yang diketuai Perdana Menteri, dengan menyatakan ia bermanfaat dalam mengembangkan rangkaian dan meneroka aset dan projek infrastruktur lain di Afrika.
Justeru, lawatan Anwar ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya bukan hanya sekadar simbol diplomatik, malah turut mencerminkan strategi Malaysia untuk mengukuhkan kehadiran negara di rantau ini yang permintaan terhadap infrastruktur, teknologi, pendidikan dan produk halal semakin meningkat.
Ketika Malaysia berusaha memperkukuh daya saing globalnya, membina perkongsian yang berkekalan dengan negara Afrika menawarkan laluan ke pasaran baharu, kepelbagaian rantaian bekalan dan peningkatan kerelevanan geopolitik.
Ethiopia, persinggahan pertama Anwar dalam lawatan ke tiga negara Afrika itu, merupakan antara pasaran yang paling pesat berkembang di benua tersebut yang sangat berharapkan pelaburan selain mempunyai industri kewangan yang diliberalisasikan sepenuhnya.
Ini secara tidak langsung memberikan peluang yang cerah kepada bank Malaysia, terutamanya dalam kewangan Islam.
Addis Ababa - ibu kota tertinggi di Afrika dan antara yang tertinggi di dunia pada ketinggian 2,355 meter dari paras laut, turut menempatkan ibu pejabat Kesatuan Afrika, yang menjadikannya permulaan sempurna bagi usaha Anwar untuk mengeratkan hubungan dengan Afrika.
Kesatuan Afrika yang ditubuhkan pada Julai 2002 dan dianggotai 55 negara, merupakan suara perwakilan untuk Afrika di pentas global dan antara peranan utamanya adalah untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa.
Malaysia membuka semula kedutaannya di Ethiopia pada 23 September 2025, selepas 42 tahun tidak beroperasi, sekali gus mencerminkan hasrat negara untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Ethiopia, negara dilingkungi daratan paling padat dari segi populasi di dunia muncul sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia diAfrika pada 2023.
Lawatan tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara yang mendapat jolokan “Horn of Africa” itu – yang pertama oleh Perdana Menteri Malaysia turut membawa signifikan tersendiri berikutan ia merupakan kunjungan balas kepada Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali yang melawat Malaysia pada Oktober tahun lepas.
Tidak kurang pentingnya ialah lawatan beliau ke Nairobi, Kenya. Meskipun ia merupakan persinggahan paling singkat dalam rangka lawatan tiga negara, kunjungan itu tetap membawa kepentingan tersendiri.
Lawatan Anwar ke Kenya turut mencatat sejarah apabila merupakan kunjungan pertama oleh Perdana Menteri Malaysia dalam tempoh hampir dua dekad, selepas kunjungan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007.
Dalam pertemuan rasmi itu, Malaysia dan Kenya sepakat memartabatkan hubungan dua hala yang terjalin sekian lama kepada perkongsian strategik, sekali gus menandakan detik penting sempena 60 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata perkongsian strategik itu merangkumi semua bidang, termasuk perdagangan produk pertanian tradisional serta teknologi baharu seperti peralihan tenaga dan transformasi digital serta semikonduktor.
Aspirasi itu selari dengan hala tuju Nairobi, yang semakin dikenali sebagai “Silicon of Savannah, dengan memperkukuh bandar raya pesat membangun itu sebagai hab teknologi utama rantau tersebut, sekali gus membuka laluan kepada kerjasama dua hala dalam bidang teknologi.
Malaysia turut bersetuju memansuhkan tarif ke atas import hasil pertanian dan daging lembu dari Kenya, satu langkah penting yang bakal membuka pasaran baharu kepada petani Kenya serta mengukuhkan asas perdagangan kedua-dua negara.
Pada 2024, Kenya muncul sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika dengan jumlah perdagangan mencecah RM5.7 bilion, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.
Penghargaan terhadap Malaysia juga jelas terserlah di Kenya, yang menerima manfaat besar daripada Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), dengan majoriti peserta pertemuan diaspora terdiri daripada alumni program tersebut.
Presiden Kenya William Samoei Ruto dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia tahun hadapan.
Dalam pelbagai sesi keterlibatan di kedua-dua negara, Perdana Menteri mengingatkan kalangan peserta mengenai begitu banyak masa yang terbuang tanpa membina hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh antara benua Afrika dan Malaysia, khususnya di negara-negara yang beliau lawati.
“Perubahan pesat dan kompleks yang tercetus ekoran ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan cabaran berkaitan iklim menunjukkan kepada kita, dengan lebih jelas berbanding sebelum ini, betapa pentingnya rakan yang boleh dipercayai”.
“Masa telah dibazirkan,” kata beliau.
“Kini masanya untuk negara bersama-sama mendukung kestabilan, menggalakkan pasaran terbuka dan mencapai pertumbuhan yang inklusif serta mampan,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan melakukan segala yang perlu bagi memastikan perniagaan dapat berkembang maju.
Di kedua-dua negara itu, Malaysia mengadakan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) serta pertukaran dokumen dalam bidang yang sama seperti perdagangan, pelaburan, pelancongan dan kesambungan udara.
Kehadiran Anwar di perhimpunan para pemimpin Kumpulan 20 (G20) juga sama penting dalam usaha Malaysia memperkukuh Selatan Global, terutama apabila Afrika Selatan, ekonomi paling maju di rantau itu, muncul sebagai negara Afrika pertama yang menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak tersebut.
Sidang Kemuncak yang berlangsung di Johannesburg itu merupakan platform terbaik Malaysia untuk bertemu ramai pemimpin dari banyak negara, sekali gus memberi manfaat kepada hubungan dua hala Putrajaya.
Anwar mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri China Li Qiang, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Perdana Menteri Mesir Mostafa Madbouly dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.
Perdana Menteri juga mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, dengan mereka membincangkan pelbagai isu termasuk kerjasama dalam industri semikonduktor.
Selain itu, Anwar menggesa negara anggota G20 untuk melangkaui retorik dan mengambil tindakan konkrit bagi menangani isu ketaksaksamaan perdagangan global yang sekian lama berlarutan, terutama yang menjejaskan negara di Selatan Global.
Beliau berkata walaupun perbincangan terkini G20 menunjukkan desakan hebat untuk mencapai konsensus yang lebih luas mengenai perdagangan multilateral, mekanisme pelaburan dan merapatkan jurang ekonomi antara negara namun, kemajuan sebenar masih terkekang.
Di samping itu, Anwar amat menyedari kepentingan ekonomi Afrika yang semakin meningkat seperti yang terbukti melalui kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi, kepelbagaian ekonomi, Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika dengan populasi 1.3 bilion, demografi generasi muda, transformasi digital dan potensi pelaburannya.
Lawatan Perdana Menteri ke tiga negara Afrika itu ternyata sangat berjaya, menjadi lembaran baharu bagi hubungan sinergi dan nilai tambah dengan benua Afrika yang berpotensi muncul sebagai kuasa besar ekonomi.
-- BERNAMA
