LAHAD DATU, 25 Nov (Bernama) -- Sebuah bandar baharu dicadangkan diwujudkan di Felda Sahabat di sini, namun cadangan berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri terlebih dahulu untuk perbincangan lanjut, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata cadangan penubuhan bandar baharu itu merupakan permintaan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagi meningkatkan pembangunan Felda Sahabat khususnya dan Lahad Datu amnya.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengamanahkan saya untuk menjaga Felda. Secara tidak langsung saya adalah menteri yang menjaga hal ehwal Felda di seluruh negara.
“Felda ada kekangan, permasalahan sekarang ini dari segi peruntukan infrastruktur, pendidikan, tadika, lampu jalan dan beberapa peruntukan termasuk mesin hemodialisis,” katanya berucap pada Program Permuafakatan Komuniti Felda Wilayah Sabah di Dataran Ekspo di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ahmad Shabery.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah meluluskan kerjasama antara tadika di Felda dengan Tabika KEMAS untuk mengadakan kursus pratahfiz di seluruh rangkaian felda.
Beliau berkata sebagai agensi yang menjaga Felda, KKDW telah memenuhi sebahagian permintaan pengurusan agensi itu dengan penuh tanggungjawab bagi menjaga kebajikan warga felda generasi kedua dan ketiga.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berharap warga felda akan memberikan sokongan kepada calon daripada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 agar dapat membawa agenda pembangunan di Felda Sahabat.
Ketika ditemui media selepas program itu, Ahmad Zahid menyatakan hasrat untuk melihat perubahan pada 29 Nov ini khususnya dalam kalangan peneroka di Felda Sahabat supaya menjadi mercu tanda kebangkitan semula pengundi-pengundi kawasan Felda untuk bersama-sama dengan Kerajaan MADANI.
BN meletakkan Saleha Abdul Wahid sebagai calon di DUN Tungku, Sharif Musa Sharif Mabul (Silam) dan Datuk Seri Dr Anil Sandhu (Kunak) bagi memberikan perkhidmatan terbaik di semua kawasan berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 melibatkan 1.76 juta pengundi.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
