EKONOMI

POLYPLAS RASMI KILANG BERTEKNOLOGI TINGGI BERNILAI RM74 JUTA DI PULAU PINANG

25/11/2025 08:00 PM

GEORGE TOWN, 25 Nov (Bernama) -- Polyplas Sdn Bhd, sebuah syarikat pengeluar acuan dengan suntikan ketepatan Malaysia dan subsidiari utama Ge-Shen Corporation Bhd, telah melancarkan kilang berteknologi tinggi di Pulau Pinang pada 21 Nov lepas untuk mengukuhkan kehadiran strategiknya dalam sektor perkilangan negara.

Polyplas dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)  melalui satu kenyataan bersama hari ini berkata pengembangan syarikat itu menyaksikan ia melabur sebanyak RM24 juta dalam kilang tersebut, manakala RM50 juta lagi diperuntukkan bagi pembelian mesin serta automasi termaju.

"Keupayaan yang dipertingkatkan ini dijangka akan melonjakkan kecekapan operasi, penerimaan Industri 4.0 selain mengukuhkan daya saing keseluruhan Malaysia dalam pengeluaran yang didorong inovasi," kata mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata agensi itu mengalu -alukan pengembangan terbaru Polyplas, ia turut mencerminkan kemampuan pengeluar tempatan untuk maju dalam rantaian nilai.

"Melalui fasilitasi pelaburan strategik kami, koordinasi pengawalseliaan dan sokongan penasihat yang berterusan, MIDA berbangga dapat menerajui juara tempatan seperti Polyplas dalam transformasi mereka ke arah operasi bernilai tinggi dan berintensifkan teknologi," katanya.

Beliau berkata Polyplas telah menyumbang dengan ketara kepada ekonomi Malaysia melalui pengkhususannya dalam menghasilkan komponen plastik berkualiti tinggi untuk sektor perindustrian, teknologi perubatan dan pengguna.

Pelaburan itu juga sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, yang mengutamakan pembuatan termaju, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dan kapasiti inovasi yang lebih kukuh.

"MIDA yakin bahawa pengembangan ini akan memberi inspirasi kepada lebih banyak syarikat Malaysia untuk merangkul inovasi serta meningkatkan keupayaan mereka bagi memenuhi tuntutan ekonomi masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Polyplas, Andrew Teoh berkata fasiliti baharu ini menandakan peristiwa penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat dan menegaskan komitmennya untuk memberikan kecemerlangan kepada pelanggan.

"Kilang baharu ini mewakili bukan sahaja pelaburan yang signifikan dalam keupayaan teknologi dan pengeluaran canggih tetapi juga di kalangan rakyat, komuniti serta masa depan industri kita.

"Dilengkapi dengan jentera terkini dan sistem pengeluaran yang mampan, fasiliti ini akan meningkatkan kecekapan operasi, kapasiti selain menyokong pengembangan syarikat ke pasaran baharu," katanya.

Polyplas, yang ditubuhkan pada 1988 turut memperakui sokongan berterusan yang diterima daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), MIDA dan agensi yang relevan dalam memudahkan pertumbuhannya.

Syarikat itu komited untuk mengukuhkan ekosistem pembuatan Malaysia dengan menyokong daya tahan rantaian bekalan, memajukan bakat dan menyumbang kepada pembangunan perindustrian jangka panjang negara, kata kenyataan itu lagi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan