Oleh Lucia Terey Anak John
BEAUFORT, 26 Nov (Bernama) -- Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan yang pernah merekodkan kejadian air termenung selama 41 hari semasa banjir 1981, kini menunjukkan perubahan ketara hasil pelaksanaan langkah mitigasi termasuk pelebaran sungai dan pembinaan lencongan aliran air.
Penyandang dan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata walaupun banjir tidak dapat dielak kerana Beaufort antara kawasan menerima taburan hujan tinggi di Malaysia, sekurang-kurangnya tempoh dan kesan bencana itu berjaya diminimumkan dengan ketara.
“Dahulu banjir boleh (mengambil masa) berbulan namun sekarang sekitar seminggu. Di Kampung Lumadan dan Bukau contohnya, masalah banjir kilat semakin terkawal selepas kerja pelebaran dan pendalaman muara Sungai Lumadan serta pembersihan Sungai Api-Api dilaksanakan,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata pembinaan lencongan Sungai Padas dari Kampung Suasa ke Weston sejauh kira-kira tiga kilometer turut membantu mempercepat aliran air banjir ke laut dan mengurangkan kawasan air termenung.
“Selain banjir, masalah bekalan air juga sudah hampir selesai apabila 95 peratus daripada 84 kampung kini menikmati air bersih. Hanya tiga kampung yang masih belum menerima bekalan sepenuhnya antaranya Kampung Jabang,” katanya.
Beliau berkata penyambungan paip ke kampung belum selesai akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan semua penduduk dapat menikmati bekalan air secara menyeluruh.
“Kejayaan menangani isu banjir dan bekalan air yang sekian lama membelenggu penduduk bukan sahaja memberi kelegaan kepada rakyat, malah menjadi bukti keberkesanan pentadbiran saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan.
“Ini bukan janji kosong, tetapi hasil yang dinikmati rakyat. Mereka lihat dan alami sendiri perubahannya,” katanya yang mengakui rekod perkhidmatan itu turut mempengaruhi suasana kempen yang semakin positif.
Ruslan berkata setakat ini, beliau telah menjelajah 13 pusat daerah mengundi termasuk Lumadan dan Bukau bersama-sama jentera parti komponen GRS, selain dibantu jentera rakan gabungan seperti PKR dan Amanah.
“Kalau dulu kita hanya bergerak dengan satu parti, sekarang kita berkempen sebagai satu pasukan dalam GRS dengan jentera lebih tersusun dan sokongan menyeluruh. Sudah tentu ini memberi keyakinan tambahan,” katanya.
-- BERNAMA
