Oleh Fadzli Ramli
KOTA KINABALU, 26 Nov (Bernama) -- Isu-isu menyentuh tadbir urus, pembangunan Sabah dan kepimpinan bertanggungjawab dijangka menjadi “kompas” kepada pengundi 18 tahun dalam menentukan sokongan mereka pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 Sabtu ini.
Mana-mana calon atau parti yang mampu membawa isu-isu terbabit dengan baik, mereka berkemungkinan akan mendapat undi daripada kumpulan Undi18 pada PRN Sabah kali ini.
Ini PRN Sabah yang pertama untuk pengundi muda setelah RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 melibatkan Undi18 itu diwartakan dan berkuat kuasa pada 15 Dis 2021, antara lain mendaftarkan mereka secara automatik sebagai pengundi.
Walaupun menjadi penanda aras utama, pengundi berusia 18 tahun meletakkan 'ranking' berbeza untuk isu-isu menyentuh tadbir urus, pembangunan Sabah dan kepimpinan bertanggungjawab di lima bahagian daerah Sabah dipengaruhi faktor keperluan, persekitaran dan situasi kehidupan masing-masing.
Bahagian itu ialah Pantai Barat (Kota Kinabalu, Kota Belud, Papar, Penampang, Putatan, Ranau dan Tuaran), Pedalaman (Beaufort, Keningau, Kuala Penyu, Membakut, Nabawan, Sipitang, Sook, Tambunan dan Tenom), Kudat (Kudat, Kota Marudu dan Pitas), Sandakan (Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Paitan, Telupid dan Tongod) dan Tawau (Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna).
Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Amy Azuan Abdullah berkata itu adalah dapatan kajian yang dijalankan pusat itu melibatkan responden pengundi berusia 18 tahun yang kali pertama mengundi.
Beliau berkata belia Pantai Barat Sabah mempunyai kecenderungan tinggi terhadap isu tadbir urus dan integriti berbanding bahagian lain disebabkan akses luas kepada media massa, pendidikan dan maklumat awam, serta tahap literasi politik yang lebih tinggi dalam kalangan belia di kawasan bandar.
"Penilaian mereka terhadap institusi lebih objektif dan berdasarkan prestasi, dengan keseimbangan antara kritikan dan kepercayaan. Bagaimanapun, sentimen primordial (kesetiaan identiti) dan rent-seeking (menggunakan pengaruh untuk mendapat kelebihan) masih wujud sebagai cabaran," katanya.
Amy Azuan berkata belia Bahagian Pedalaman hanya menunjukkan kecenderungan persepsi sederhana terhadap isu-isu tadbir urus dan integriti, namun mereka meletakkan akses terhad kepada perkhidmatan asas dan pembangunan tidak seimbang sebagai isu utama.
"Ini antara lain kerana mereka mempunyai akses terhad terhadap perkhidmatan asas dan pembangunan yang diperlukan. Struktur kuasa juga menunjukkan mereka bergantung kepada hubungan peribadi atau kebergantungan kepada pemimpin berbanding kecekapan institusi," katanya.
Di bahagian Kudat pula, kepercayaan pengundi muda itu lebih bergantung kepada kepimpinan individu berbanding institusi, dengan penilaian governans (tadbir urus) bersifat personalistik dan bukan sistemik.
Amy Azuan berkata bahagian Tawau mempunyai struktur politik, demografi yang kompleks dan berlapis. Justeru, isu utama ialah pengaruh politik identiti dan sistem patron-client atau hubungan dua hala tidak setaraf masih wujud, dengan persepsi bergantung kepada tokoh politik dan bukan institusi.
Di bahagian Sandakan pula beliau berkata isu utama melibatkan pelaksanaan projek pembangunan, ketidakseimbangan agihan sumber dan peluang ekonomi, pengalaman dengan birokrasi dan penyalahgunaan kuasa, serta ketiadaan saluran aduan yang berfungsi.
"Kajian ini menunjukkan wujud perbezaan ketara dalam persepsi belia Undi18 Sabah terhadap rasuah dan governans mengikut lokaliti. Persepsi belia juga sangat dipengaruhi oleh tahap pembangunan, konteks politik tempatan dan sentimen identiti.
"Maka, seharusnya pendekatan dasar yang bersifat lokal, inklusif dan responsif amat penting bagi membina kepercayaan politik dan memperkukuh tadbir urus di Sabah," katanya.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS Prof Madya Dr Ramli Dollah berkata sebalik kerancakan pengundi muda ini mengulas dan berbahas isu berkenaan terutama di media sosial, beliau bimbang tidak ramai kumpulan itu keluar mengundi pada PRN kali ini.
“Kemungkinan besar jumlah pengundi muda tidak akan turun (mengundi) banyak disebabkan faktor-faktor antaranya timing PRN yang tidak sesuai dengan konvokesyen (UMS pada 28 Nov), cuti tidak panjang, dan ‘terlalu penat’ melihat ketidakstabilan politik berpanjangan di Sabah,” katanya.
Sehubungan dengan itu beliau berkata calon dan parti yang bertanding pada kali ini perlu bukan sahaja berkempen untuk menarik sokongan, tetapi yang lebih penting berusaha menarik pengundi muda ini untuk menjalankan tanggungjawab keluar mengundi.
“Sering kita dengar pengundi muda ini penentu, tetapi bagaimana kita mahu melihat mereka menjadi penentu jika mereka tidak turun mengundi. Kita akan berdepan dengan situasi demokrasi tidak sihat bila berdepan situasi ini,” katanya.
PRN Sabah ke-17 menyaksikan 126,979 pengundi terdiri mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun daripada keseluruhan 1,784,843 pengundi di Sabah.
Pengundian PRN Sabah ditetapkan pada 29 Nov ini.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
