AM

PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT, ANGGOTA POLIS DITAHAN KERANA PANDU SECARA MELULU

26/11/2025 01:29 PM

KANGAR, 26 Nov (Bernama) -- Seorang anggota polis ditahan selepas kenderaan pacuan empat roda pasukan itu yang dipandunya terlibat dalam kemalangan sehingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut dan mencederakan seorang lagi di Jalan Persiaran Wawasan di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata dalam kejadian pada 10.20 malam itu, anggota polis terbabit dipercayai sedang melakukan rondaan sebelum kenderaan yang dipandunya bertembung dengan motosikal yang ditunggang oleh kedua-dua mangsa dari arah bertentangan.

“Ekoran kemalangan itu, seorang penunggang motosikal berumur 24 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa yang cedera berusia 25 tahun berada di zon kuning Hospital Tuanku Fauziah di Kangar dan dilaporkan sedar,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.

Yusharifuddin berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan itu, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dan dinasihat supaya tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Video insiden itu turut tular di media sosial sejak awal pagi ini yang memaparkan anggota polis terbabit dikerumuni orang ramai sejurus selepas kemalangan berlaku.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan