KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kejohanan Malaysia Closed 2025, yang dijadual berlangsung di Sentul, Kuala Lumpur, dari 5 hingga 8 Dis ini, akan memberikan peluang kepada pemain pickleball mengutip mata ranking serta berpeluang bergelar pemain terbaik negara.
Penasihat Persatuan Pickleball Malaysia (MPA) Dr Kelvin Yii, berkata kejohanan julung kali dianjurkan badan induk sukan itu akan membantu pihaknya mengenal pasti pemain berpotensi mewakili Malaysia dalam kejohanan peringkat antarabangsa.
“Kita akan memperkenalkan sistem ranking kebangsaan dalam pertandingan ini. Ia penting bagi memastikan pemilihan pemain untuk kejohanan antarabangsa pada masa depan dilakukan secara telus dan adil.
“Menerusi sistem ranking ini, pemain dengan kedudukan lebih tinggi akan diberi keutamaan untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata kejohanan yang hanya terbuka kepada rakyat Malaysia itu akan menampilkan kategori perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, serta beregu campuran.
Selain mata ranking, MPA juga akan menawarkan hadiah menarik lain yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Para pemain yang berminat untuk menyertai Malaysia Closed 2025 masih boleh mendaftar untuk kategori junior di https://www.sportssync.asia dan kategori senior: https://www.swp.solemas.com
Tarikh tutup pendaftaran ialah 30 Nov 2025.
-- BERNAMA
