AM

RAJA PERMAISURI AGONG BERKENAN JADIKAN PRODUK KRAF TANGAN B40, ORANG ASLI CENDERA KENANGAN ISTANA NEGARA

26/11/2025 07:46 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menjadikan barangan hasil buatan tangan golongan wanita B40, ibu tunggal serta Orang Asli sebagai cendera kenangan Istana Negara.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Raja Zarith Sofiah menzahirkan perkara itu ketika menerima menghadap dan menyaksikan pameran produk daripada Komuniti Tukang Jahit Malaysia dan The Asli.co di Istana Negara hari ini.

“Saya juga berharap pihak lain seperti syarikat korporat serta individu turut membantu membuat tempahan barangan kraf sebagai sokongan kepada mereka, sekali gus dapat membantu dari segi kewangan kerana mereka menerima bayaran bagi setiap hasil kraf tangan yang dihasilkan,” titah Seri Paduka Baginda.

Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan pandangan terhadap Komuniti Tukang Jahit Malaysia dan The Asli.co supaya barangan hasil kraf tangan mereka seperti anak patung dimasukkan elemen perpaduan yang mencerminkan kepelbagaian kaum yang bersatu-padu di Malaysia.

Komuniti Tukang Jahit Malaysia merupakan sebuah organisasi yang mengeluarkan barangan kraf tangan jahitan hasil buatan tangan golongan wanita B40 dan ibu tunggal.

The Asli.co pula adalah sebuah organisasi yang membantu golongan Orang Asli memasarkan produk barangan kecantikan dan hasil kraf tangan mereka.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan