EKONOMI

UNTUNG BERSIH SUKU KETIGA MBSB SUSUT KEPADA RM95.64 JUTA

26/11/2025 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- MBSB Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM95.64 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 Sept 2025 berbanding RM122.08 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan perbankan Islam tunggal kedua terbesar di negara ini berkata, perolehan bagi suku berkenaan berkurangan kepada RM817.73 juta daripada RM947.50 juta sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Rafe Haneef berkata prestasi MBSB pada suku ketiga mencerminkan pelaksanaan yang berdisiplin dan kepelbagaian model perniagaan kumpulan yang berdaya tahan.

“Kumpulan akan terus mengukuhkan aliran pendapatan bukan berasaskan pembiayaan dan meningkatkan kehadiran dalam perbankan korporat dan pelaburan sambil mengekalkan pendekatan berhati-hati terhadap risiko dan modal.

“Pertumbuhan yang berterusan dalam akaun semasa dan simpanan (CASA) dan kestabilan nisbah modal meletakkan kami dalam kedudukan yang baik untuk memperlihatkan prestasi yang mampan dan nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya.

Keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM275.88 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2025 daripada RM255.26 juta pada tahun sebelumnya berikutan caj susut nilai lebih rendah sebanyak RM77.3 juta khususnya daripada portfolio korporat.

Bagaimanapun, kenaikan itu diimbangi oleh pendapatan bersih yang rendah dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.

Sementara itu, perolehan menyusut kepada RM2.62 bilion daripada RM2.80 bilion sebelumnya.

Mengenai prospek, kumpulan kekal berhati-hati namun optimis dalam melaksanakan pelan hala tuju transformasi tiga tahunnya, FLIGHT26.

“Kumpulan terus memperkukuh kecekapan operasi melalui pengoptimuman kos dana di samping memperluas pertumbuhan pembiayaan dan aliran pendapatan bukan berasaskan pembiayaan melalui inovasi digital dan penyelesaian bagi perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan